Khamis, 28 September 2017 | 11:45am
MASAKAN Kalio Ayam Seri Menanti. - Foto Supian Ahmad

Resipi kalio ayam Seri Menanti

PERKATAAN kalio mungkin ramai yang tidak mengetahuinya, ia memberi maksud hidangan yang dimasak seolah gulai, namun kuahnya pekat seperti kuah rendang.

Kalio adalah masakan yang berasal dari negara sebarang iaitu Minang, Indonesia, justeru, apabila ia diolah kepada masakan tempatan, bahan-bahannya tidak jauh berbeza, mungkin disebabkan oleh kita daripada rumpun yang sama.

Cuma apa yang membezakan ia hanyalah cara masakannya sama ada inginkan rasa pedas atau kurang pedas. Masakan kalio ini boleh menggunakan ayam atau daging.

Apabila ia dioleh kepada masakan Negeri Sembilan, rasanya lebih pedas sedikit kerana kebanyakan orang Negeri Sembilan memang sinonim dengan masakan pedas.

Kalio ayam ini boleh dijadikan sebagai menu sarapan, makan tengah hari atau malam. Ia juga sesuai dijadikan menu pada musim perayaan.

Sous Chef, Sunway Putra Hotel, Mohammad Norhafzaineezan Hamzah berkongsi bagaimana menghasilkan menu Kalio Ayam Seri Menanti ini dengan mudah.


BAHAN -bahan yang diperlukan untuk memasak Kalio Ayam Seri Menanti. - Foto Supian Ahmad

Bahan-bahan

(jumlah hidangan untuk 6-8 orang)

1 ekor ayam

300 mililiter (ml) santan

5 biji buah keras (ditumbuk dan dicairkan)

1 inci lengkuas (dimesin)

1 inci halia (dimesin)

5 ulas bawang putih (dimesin)

5 ulas bawang merah (dimesin)

2 biji bawang besar (dimesin)

2 inci kunyit hidup (dimesin)

10 tangkai cili merah (dimesin)

10 biji cili padi (dimesin)

6 batang serai (dititik)

3 helai daun kunyit

2 helai daun limau purut

2 keping asam gelugur

Garam secukup rasa

Serbuk perasa

Minyak masak

Cara penyediaan

1. Tumiskan semua bahan yang dimesin itu sehingga naik bau dan garing.

2. Masukkan buah keras dan masak sebentar, kemudian masukkan daun limau purut.

3. Masukkan ayam dan biarkan ia masak sebentar.

4. Masukkan santan, serai, asam gelugur dan daun kunyit.

5. Akhir sekali masukkan serbuk perasa dan garam.

Berita Harian X