Jumaat, 8 September 2017 | 7:29pm
GANESAN dan Irsyad bersama keluarganya di kolam renang persendirian di Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
GANESAN dan Irsyad bersama keluarganya di kolam renang persendirian di Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JURULATIH renang, S Ganesan mengajar pesakit autisme Rangga Irsyad berenang di kolam renang persendirian, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JURULATIH renang, S Ganesan mengajar pesakit autisme Rangga Irsyad berenang di kolam renang persendirian, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
S GANESAN memberi tumpuan sepenuhnya ketika melatih kanak-kanak istimewa berenang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
S GANESAN memberi tumpuan sepenuhnya ketika melatih kanak-kanak istimewa berenang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Jurulatih renang anak autisme berdepan cabaran tersendiri

JOHOR BAHRU: Kelebihan aktiviti renang jika diamalkan sememangnya sudah diketahui ramai, tidak kurang juga kepada anak autisme yang boleh dijadikan terapi sampingan, namun tidak ramai individu berani mengambil tanggungjawab untuk melatih anak istimewa itu.

Meskipun mempunyai pengalaman dan kelayakan melatih renang, namun tidak ramai yang berani mengambil risiko untuk mengajar anak autisme dalam aktiviti berenang yang pastinya memerlukan lebih tumpuan berbanding melatih kanak-kanak normal.

Berbeza bagi jurulatih renang, S Ganesan, 60, atau lebih dikenali dengan gelaran Benny yang berani mencabar dirinya untuk melatih kumpulan kanak-kanak autisme sekitar bandar raya ini.

Memiliki kelayakan serta sijil kejurulatihan daripada Singapura, Ganesan beranggapan ilmu berdasarkan pengalamannya yang disampaikan itu adalah sebagai tanggungjawab membantu golongan anak istimewa itu, termasuk dengan mengenakan bayaran yang rendah untuk ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Katanya, mengajar dan melatih anak istimewa dalam aktiviti renang memerlukannya fokus lebih tiga kali ganda berbanding kanak-kanak normal.

IRSYAD berenang di kolam renang persendirian di Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
IRSYAD berenang di kolam renang persendirian di Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Apa yang mereka lakukan dan buat di dalam air sukar untuk kita jangka dan hanya melihat berpandukan wajah dan gerak tubuh mereka sahaja dan sebab itu saya meletakkan fokus yang lebih ketika melatih anak istimewa ini.

"Ramai jurulatih profesional dan berpengalaman tidak sanggup dan mampu untuk melakukan tanggungjawab ini, tetapi saya gunakan pengalaman itu secara peribadi bagi membantu kanak-kanak istimewa juga dengan hanya kadar bayaran yang murah iaitu RM250 bagi lapan sesi pembelajaran (sejam setiap sesi)," katanya ketika ditemui di sini.

Ganesan berkata, perkembangan kemahiran renang semua anak autisme tidak sama dan ia bergantung kepada individu itu sendiri, ada kanak-kanak yang mengambil tempoh singkat dan ada juga yang mengambil tempoh lama untuk mahir.

S GANESAN mengajar Irsyad berenang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
S GANESAN mengajar Irsyad berenang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Apabila melihat perkembangan mereka dalam aktiviti renang menjadi satu kepuasan buat diri saya, apatah lagi ibu bapa yang mengharapkan perubahan dan perkembangan positif daripada anak mereka, pastinya mereka lebih gembira.

"Usaha saya ini bukan mahu mengaut keuntungan kerana sehingga kini tidak sampai 10 kanak-kanak autisme yang saya latih, semuanya saya lakukan atas dasar tanggungjawab kerana saya memiliki kemahiran dan pengalaman," katanya.

Sementara itu, bagi pasangan Mohd Ata Suratin, 35, dan Nursima Mohd Yusof, 32, perubahan terhadap anak sulungnya, Rangga Irsyad Mohd Ata, 6, dapat dilihat selepas menghantar zuriat istimewa itu memasuki kelas renang yang dikendalikan pakar dalam melatih anak autisme berenang.

MENGAJAR dan melatih anak istimewa dalam aktiviti renang memerlukannya fokus lebih tiga kali ganda berbanding kanak-kanak normal. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MENGAJAR dan melatih anak istimewa dalam aktiviti renang memerlukannya fokus lebih tiga kali ganda berbanding kanak-kanak normal. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Mohd Ata berkata, anak sulungnya itu menunjukkan banyak perubahan terutama dari aspek keyakinan dalam dirinya sejak mengikuti kelas renang berkenaan yang kini sudah memasuki hampir tahun kedua.

"Ramai (ibu bapa mempunyai anak autisme) selalunya mempersoalkan sesuatu perkara tetapi tidak melihat bagaimana mahu menyelesaikan perkara itu dan atas keyakinan itu saya menggalakkannya menyertai aktiviti renang yang juga sebahagian terapi untuknya.

"Kami bukan mahu jadikannya perenang profesional, tetapi apa yang kami mahu melihat perubahan positif dalam kehidupan hariannya dan ternyata dengan aktiviti renang ini banyak perubahan baik dapat dilihat.

"Syukur saya tidak rasa fobia melihat Irsyad di dalam kolam renang, malah gembira dan seronok melihat telatah yang sedikit sebanyak mencuit hati kami," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, agak sukar di kawasan bandar raya ini untuk mencari jurulatih renang berkelayakan yang sanggup melatih kanak-kanak autisme, tetapi mereka berbangga dan bersyukur menemui Ganesan.

"Kami sebagai ibu bapa sudah cukup berbangga dan bersyukur jurulatih ini mahu menerima Irsyad serta komited melatihnya sehingga hari ini kami masih menggunakan khidmatnya yang ternyata membuahkan hasil positif," katanya.

INFO

  • Rangga Irsyad anak sulung daripada dua beradik
  • Mula berenang pada tahun lalu
  • Dalam tempoh 8 bulan Rangga Irsyad sudah tidak menggunakan pelampung tangan
Berita Harian X