Selasa, 25 Julai 2017 | 12:41am

Gilap potensi anak main ragbi

KUALA LUMPUR: Dua beradik gigih berlatih ragbi bersama, mengikut masa sendiri dan selesa dibimbing bapanya, jurulatih kelab ragbi.

Nur Ayesha Eryna, 6, dan abangnya, Danial Nasrullah Mohd Nasir, 7, berlatih secara intensif kerana impian mereka mahu bergelar pemain profesional satu hari nanti.

Keserasian mereka yang jelas dilihat sama ada ketika mereka beraksi sebagai lawan atau gandingan rakan sepasukan, menjadikan rutin hujung minggu sentiasa terisi dengan latihan ragbi.

Meskipun usia mentah, sukan ragbi, begitu dekat di sanubari dan menjadi pilihan, berikutan aktiviti lasak itu membuktikan keyakinan, disiplin dan membentuk sahsiah diri.

DANIAL Nasrullah bercuti bersama keluarga.
DANIAL Nasrullah bercuti bersama keluarga.

BAGI kategori kanak-kanak, sukan ini dikenali mini ragbi.
BAGI kategori kanak-kanak, sukan ini dikenali mini ragbi.

Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(2), Daniel Nasrullah, berkata dia mula berlatih ragbi sejak dua tahun lalu, selepas acap kali dibawa mengikuti latihan ragbi sekitar Putrajaya.

Katanya, bapa pencetus minatnya kerana ragbi sukan yang membentuk disiplin diri selain mengikuti aktiviti Kelab Sukan Musketeer Putrajaya yang banyak menyertai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Bagi kategori kanak-kanak, sukan ini dikenali mini ragbi yang tiada pelanggaran tubuh dengan pemain lain berbanding permainan dewasa," katanya sambil bercerita mini ragbi disertai 10 pemain untuk sesebuah pasukan.

Gembira berlatih bersama adik

Di sebalik impian melakar nama sebagai pemain skuad kebangsaan, anak sulung daripada empat beradik ini mengakui gembira berlatih bersama adik berikutan mudah mengikuti sesi latihan mahupun pertandingan.

AKTIF dalam kegiatan sukan juga membentuk Danial Nasrullah sebagai anak sulung bertanggungjawab. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
AKTIF dalam kegiatan sukan juga membentuk Danial Nasrullah sebagai anak sulung bertanggungjawab. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Tiada jalan pintas untuk berjaya, apatah lagi saya perlu selalu meluangkan masa berlatih kerana banyak kemahiran dan taktikal perlu dipraktikkan supaya mampu menjadi handal.

"Melalui mini ragbi saya mempelajari mengenai disiplin, tatacara berkomunikasi sesama rakan sepasukan dan meletakkan diri selalu bersedia supaya bola tidak dirampas pasukan lawan," katanya yang bercita-cita sebagai doktor.

Bahkan, aktif dalam kegiatan sukan juga membentuk dia sebagai anak sulung bertanggungjawab, memahami peranan dan meletakkan kepentingan bersama lebih dulu daripada kehendak sendiri sendiri.

"Azam saya mahu membanggakan ibu bapa, menyertai pasukan kebangsaan, sekali gus membuktikan sokongan keluarga membuahkan hasil kerana ibu bapa banyak berkorban terutama meletakkan kepercayaan menyertai sesuatu pertandingan.

"Namun, saya tetap memberi fokus pada pelajaran kerana pendidikan bidang penentu masa depan dan ragbi pula membina portfolio diri, yang pelajar berbakat, penuh kesukanan dan modal insan berkualiti," katanya.

Fokus pada latihan

MOHD Nasir mengajar anak-anaknya bermain ragbi kerana sukan itu membina ketangkasan mengejar bola, taktikal berdepan lapan dan menyihatkan tubuh. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MOHD Nasir mengajar anak-anaknya bermain ragbi kerana sukan itu membina ketangkasan mengejar bola, taktikal berdepan lapan dan menyihatkan tubuh. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Penerima Anugerah Akhlak Unggul 2016 SK Putrajaya Presint 8(2), mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan seperti KL Saracens International Junior Rugby U7, KL Tigers International Invitation U7, Putrajaya Junior Cup U7 & U8, Tangling Rugby Club TRC CHUBB Junior Cup 2017 U7 Singapura sepanjang tahun ini.

Terdahulu, dia menyertai acara sama selain, mula menyertai pertandingan antarabangsa pertama iaitu Cobra International Rugby Closed Invitation U5 pada 2015.

"Saya semakin bersemangat apabila fokus pada latihan insentif, memperbaiki kelemahan diri dari masa ke masa, memberikan tumpuan latihan hanya pada pagi hujung minggu berikutan jadual ketat hari persekolahan," katanya.

Disiplinkan diri anak

MOHD Nasir memantau anaknya, Danial Nasrullah dan Nur Ayesha Eryna berlatih ragbi di Padang Presint 8, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MOHD Nasir memantau anaknya, Danial Nasrullah dan Nur Ayesha Eryna berlatih ragbi di Padang Presint 8, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bagi Mohd Nasir Zakaria, 33, pembabitan beliau dalam sukan ragbi ketika pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kekal aktif, memanfaat masa berkualiti di kampus dan menjaga kesihatan optimum.

"Justeru, apabila mempunyai anak, kegiatan sama diterapkan kepada mereka supaya mereka dapat dilatih menjadi profesional dan pergi jauh lagi bukan sekadar bermain untuk mengisi masa terluang.

"Ini juga mengubah rutin murid terutama di bandar yang hanya menonton televisyen, menghadap komputer berikutan tiada aktiviti sesuai untuk mereka lakukan, membuatkan mereka tidak aktif dan mudah jatuh sakit," katanya.

Justeru, anak-anaknya diajar bermain ragbi yang dianggap sukan yang menguji ketahanan mental dan fizikal kerana kegiatan itu membina ketangkasan mengejar bola, taktikal berdepan lapan dan menyihatkan tubuh.

Katanya, sukan itu dapat mendisiplinkan diri selain membentuk diri menjadi lebih berani dan kental untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

"Bidang sukan ini bukan permainan semata-mata kerana ragbi mampu mendisiplinkan murid terutama dari aspek pengurusan dan ketepatan masa serta membina jati diri sekali gus menjadi seorang individu yang cemerlang

DANIAL Nasrullah menjalani latihan ragbi di Padang Presint 8, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DANIAL Nasrullah menjalani latihan ragbi di Padang Presint 8, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Malah, tujuan kelab adalah mahu melahirkan bakat baharu untuk dijadikan pelapis sukan yang menyumbang pembentukan modal insan berkualiti, pemain kental, bersemangat kesukanan tinggi dan berupaya mengharungi cabaran," katanya.

Mohd Nasir berkata, kepuasan melihat anak didik menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, menempa pengalaman dan memperbaiki kelemahan diri sekali gus membina keyakinan untuk beraksi perlawanan akan datang.

"Sebagai jurulatih, setiap pemain dinilai untuk menentukan kelayakan mereka mewakili pasukan kerana bakat sukan ini perlu digilap dan hanya tampak potensi selepas beberapa lama latihan.

"Ini kerana pertandingan adalah satu percaturan, peserta boleh jadi anak saya sendiri, boleh jadi pemain lain, kerana mereka adalah wakil yang dinilai dari bakat, keupayaan dan menjadi harapan," katanya.

INFO

Sukan ragbi:

  • - Menguji ketahanan mental dan fizikal kerana kegiatan itu membina ketangkasan mengejar bola, taktikal berdepan lapan dan menyihatkan tubuh.
  • - Mendisiplinkan diri dari aspek pengurusan dan ketepatan masa serta membina jati diri.
  • - Membentuk diri menjadi lebih berani dan kental untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Berita Harian X