Ahad, 7 Ogos 2022 | 12:06pm
Antara busana rekaan seorang pereka tempatan bakal diperagaan di KLFW.- Foto/Ihsan KLWF
Antara busana rekaan seorang pereka tempatan bakal diperagaan di KLFW.- Foto/Ihsan KLWF

40 pereka fesyen tempatan bakal tampil rekaan terkini di KLFW

KUALA LUMPUR: Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) kembali tampil ke pentas peragaan secara fizikal dengan acara itu akan berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, pada 17 hingga 21 Ogos ini.

Acara berprestij yang meraikan ulang tahun ke-10 KLFW berkenaan bakal menampilkan rekaan fesyen sedia dipakai atau ready to wear (RTW) daripada 40 pereka hebat tempatan.

Disebabkan COVID-19 tahun lalu, penggemar fesyen hanya berpeluang melihat koleksi fesyen secara talian berikutan kehadiran di pentas peragaan hanya membabitkan kelompok terhad.

Acara dianjurkan sejak 2013, menjadi platform terbaik kepada penggiat fesyen tempatan mengetengahkan seni rekaan masing-masing dan melaluinya juga ramai bakat muda berjaya menembusi fesyen antarabangsa.

Rekaan pereka tempatan serlahkan kreativiti dalam berfesyen. - Foto/Ihsan KLFW
Rekaan pereka tempatan serlahkan kreativiti dalam berfesyen. - Foto/Ihsan KLFW

Masing-masing menonjolkan identiti tersendiri sama ada menerusi koleksi RTW, avant-garde, couture atau athleisure, tampil yakin untuk diperagakan.

Pengasas KLFW, Andrew Tan, berkata setahun lalu ketika seluruh negara masih dalam sekatan COVID-19, pihaknya tidak duduk diam tetapi giat menjalankan advokasi dan usaha itu membuahkan hasil apabila 48 pereka tempatan menyertai KLFW secara digital.

"Acara digital julung kali itu diadakan secara bersiri dan kemuncaknya berlangsung dengan peragaan di pentas pada November.

"Hasil perbincangan dengan pemain industri, KLFW komited memperkembangkan industri fesyen negara dan berterusan meningkatkan produktiviti, inovasi dan kreativiti," katanya.

Katanya, KLFW tahun ini mengetengahkan kempen #iAmMalaysian oleh institusi perbankan, AmBank, pencarian pereka fesyen dan model oleh Samsung, yang seterusnya akan dipersembahkan dalam 'The KL 10 Designer Search' dengan kerjasama jenama fesyen Mimpikita.

Selain itu, peraduan 'Doodle' oleh Vespa Malaysia akan memeriahkan KLFW, di samping Poh Kong yang bekerjasama dengan Jimmy Liml; Super Sunday dan Moccona Coffee bergandingan dengan Khatreena serta usaha sama AirAsia Academy.

Andrew berkata, pihaknya menetapkan tiga paramater iaitu menciptakan minat luar biasa dalam fesyen tempatan, meningkatkan kesedaran RTW adalah tambahan kepada Model Perniagaan 'Made-to-Measure' pereka.

Andrew (tiga dari kanan) bersama wakil penaja lain selepas sidang akhbar KLFW di sebuah hotel, baru-baru ini.
Andrew (tiga dari kanan) bersama wakil penaja lain selepas sidang akhbar KLFW di sebuah hotel, baru-baru ini.

"Seterusnya, dengan rangkaian dan perkongsian KLFW, kita harap ia akan mengekalkan daya maju dan kelestarian peminat industri fesyen.

"Saya bangga kami sudah mencapai kesemua tiga parameter dan kini meraikan ulang tahun ke-10 serta merealisasikan impian acara fesyen yang menakjubkan," katanya.

KLFW kali ini akan ditaja Pavilion KL, AmBank, Samsung, Vespa, Isuzu, Poh Kong, Moccona Coffee dan TIMEdotCom.

Ia juga akan disokong AirAsia, Brandavision, Shu Uemura, Oribe/Miko, Nobel dan lain-lain lagi.

Berita Harian X