Khamis, 9 Jun 2022 | 11:33am
Aksesori berasaskan pelbagai jenis batu digemari golongan berusia 40 tahun ke atas.- Foto/Omar Ahmad
Aksesori berasaskan pelbagai jenis batu digemari golongan berusia 40 tahun ke atas.- Foto/Omar Ahmad
Norizan tinggalkan bidang perbankan, tumpu jadi usahawan membuat pelbagai jenis aksesori perhiasan.- Foto/Omar Ahmad
Norizan tinggalkan bidang perbankan, tumpu jadi usahawan membuat pelbagai jenis aksesori perhiasan.- Foto/Omar Ahmad
Antara gelang tangan diperbuat daripada batu antara digemari pelanggan. - Foto/Omar Ahmad
Antara gelang tangan diperbuat daripada batu antara digemari pelanggan. - Foto/Omar Ahmad

20 jenis batu jadi pelbagai aksesori unik

JOHOR BAHRU: Bermula dengan hobi melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, menjelajah rimba, berenang di lautan dan sungai membuka ruang kepada pegawai sebuah syarikat perbankan ini mencintai pelbagai jenis batu-batuan untuk dijadikan aksesori perhiasan diri.

Malah, minat terhadap mineral yang terkandung dalam setiap jenis batu-batu itu membuatkan Norizan Mohd Sultan, 47, rela meninggalkan dunia perbankan yang diceburi sejak 2005.

Usahawan aksesori berasaskan batuan, Izan Crystal ini, bagaimanapun tidak menyesal dengan pilihan dibuat 17 tahun lalu, sebaliknya semakin giat menghasilkan pelbagai aksesori unik.

Anak jati Pulau Pinang ini menggunakan kira-kira 20 jenis batu-batu yang direka bentuk menjadi rantai tangan, subang, cincin dan tasbih daripada kira-kira 20 jenis batuan.

Antaranya amethyst, rose quartz, mose agate, hematite, tiger eye, mutiara, onyz, batu akik dan carnelian.

"Saya pernah ke Pulau Langkawi dan menjumpai sejenis batuan yang sangat cantik. Dari situ mula mempelajari lebih mendalam mengenai antaranya mengenai kandungan, fungsi dan kelebihannya.

"Kemudian, saya mula belajar mengenai batu kristal. Saya cuba meletakkan batu ini di tepi komputer dan rupa-rupanya kristal ini boleh menyerap gelombang, mengeluarkan mineral, selain persekitaran boleh menjadi bersih.

"Sejak itu, saya mula meminati kristal," katanya kata ibu empat anak ini.

Beliau juga membeli buku berkaitan jenis batuan, sejarah, cara penjagaan dan penggunaannya untuk berkongsi ilmu kepada orang ramai.

Batu amethyst umpamanya membantu dirinya merawat penyakit migrain yang dihidapi.

"Apabila saya merasai manfaat amethyst ini, menambah minat mempelajari lebih mendalam.

"Jadi, saya jual kristal dalam bentuk yang mudah dipakai atau dibawa dengan menjadikan sebagai aksesori perhiasan diri.

"Saya bentuk sendiri gelang tangan dan rantai menggunakan pelbagai jenis kristal," katanya yang mendapatkan bahan dari China, Burma dan Thailand.

Dengan adanya ilmu ia dapat mengelak ditipu penjual terutama membabitkan aksesori batuan ini.

"Mineral batu-batuan ini mempunyai banyak manfaat seperti batu hematite digunakan untuk membuat barangan kosmetik.

"Dengan kemahiran yang ada, saya boleh tahu mengenai ketulenan batuan dengan hanya memegangnya," katanya.

Namun, mengakui pada awal pembabitan dalam bidang ini, agak sukar untuk menjual aksesori berasaskan batuan kerana tidak ramai yang meminatinya.

Caranya dengan menjelaskan dan berkongsi ilmu tentang jenis batuan kepada pelanggannya sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk mendapatkan koleksi bahan yang asli.

"Aksesori ini lebih diminati golongan berusia 40 tahun dan ke atas, selain remaja kerana warna batu-batu ini menarik," katanya.

Norizan kini menyertai Kraf Malaysia yang banyak membantunya untuk mengembangkan produk diusahakannya itu.

Berita Harian X