Khamis, 13 Februari 2020 | 10:13pm
Samantha akui teruja dengan nilai estetika, perincian, miliki lebih 100 baju kurung.
Samantha akui teruja dengan nilai estetika, perincian, miliki lebih 100 baju kurung.

Gadis Tionghua pencinta busana tradisional Melayu

TELUK INTAN: Manis menggayakan kurung songket moden berona pastel dengan disusuli tutur bicaranya lembut, ternyata membangkitkan aura ‘anak dara’ Melayu pada wanita berketurunan Tionghua ini yang turut memiliki lebih 100 pasang baju kurung tradisional.

Malah, kebolehan Samantha Tan Pei Ying, 28, berbahasa Melayu dengan fasih turut menyerlahkan aura Kemelayuan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim itu.

Lebih membanggakan, wanita yang lebih mesra disapa Samantha itu turut aktif berpuisi sejak sekolah dan sering dijemput Majlis Perbandaran Teluk Intan setiap tahun sempena bulan Kemerdekaan.

Bagi wanita pencinta busana tradisional Melayu seperti baju kurung dan kebaya dari Teluk Intan ini, identiti Melayu dan bahasa kebangsaan itu sudah sebati dalam dirinya.

“Saya mula minat menggayakan baju kurung sejak sekolah rendah lagi dan boleh dikatakan hampir setiap Jumaat saya akan memakai seragam kurung sekolah.

“Mula belajar bahasa Melayu pada usia saya sembilan tahun selepas cikgu meletakkan saya di sebelah rakan Melayu dalam kelas,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Taman Intan Mas, Teluk Intan, baru-baru ini.

Samantha berkata, sehingga kini, beliau sudah mempunyai lebih 100 pasang busana tradisional Melayu seperti baju kurung, kebaya, kebarung, kurung pahang dan kurung moden daripada pelbagai jenis fabrik.

“Koleksi baju terdiri daripada kain kapas, sifon, sari serta kerawang, namun yang paling saya suka adalah songket dan batik yang menyerlahkan lagi keindahan seni kain busana Melayu.

Samantha tidak kekok menggayakan kurung songket moden ketika menyambut Tahun Baharu Cina. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Samantha tidak kekok menggayakan kurung songket moden ketika menyambut Tahun Baharu Cina. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

“Ketika di universiti, koleksi baju semakin bertambah kerana saya mengambil jurusan yang banyak membabitkan pemakaian busana Melayu seperti teater tradisional Mak Yong, selain aktif sebagai juruacara program di kampus.

“Ada juga rakan Melayu beritahu koleksi baju kurung saya lebih banyak daripada mereka, walaupun agak pelik, tetapi saya memang mencintai baju kurung. Malah, tidak kisah berbelanja lebih untuk membeli baju yang disukai,” katanya yang kini bekerja sebagai Eksekutif Media Sosial di Kuala Lumpur.

Katanya, sebagai wanita, beliau amat menggemari fesyen dan menganggap pemakaian busana Melayu mempunyai keistimewaan serta nilai estetika tersendiri.

“Selain selesa, saya suka fesyen busana Melayu tradisional kerana ia menampilkan kesopanan dan keindahan seni pakaian yang halus apabila dipakai, terutama perincian sulaman, songket serta batik.

“Bagi saya, baju kurung bukan sahaja boleh dipakai setiap hari, malah boleh dipelbagaikan seperti kurung top (kurung moden pendek) dan kebaya yang boleh dipakai dengan seluar supaya nampak lebih santai.

“Saya juga lebih selesa menempah baju berbanding beli siap, malah suka menambah hiasan atau perincian seperti butang balut, lace, bunga atau batu pada baju supaya lebih cantik,” katanya yang turut mempunyai koleksi cheongsam, baju punjabi dan sari.

Katanya, baju kurung perlu terus dimartabatkan sebagai pakaian kebangsaan dan seharusnya dipakai oleh semua wanita seperti rakyat negara lain berbangga dengan busana negara mereka.

Beliau kagum dan berterima kasih dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mahukan trend pemakaian baju kurung diteruskan.

Samantha menunjukkan antara koleksi baju kurung, kebaya dan kebarung miliknya. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Samantha menunjukkan antara koleksi baju kurung, kebaya dan kebarung miliknya. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

“Bagi saya baju kurung kebangsaan harus diteruskan menjadi trend bukan sahaja dalam kalangan Melayu, malah kepada semua kaum.

“Baju kurung adalah busana yang kaya dengan gaya sopan, pemakaiannya harus dijaga dengan sempurna, jika kain atau fabrik jarang perlu dipakai bersama kain dalam.

“Ia akan bertambah berseri jika ditambah dengan aksesori seperti kerongsang atau selendang yang akan kelihatan lebih anggun,” katanya.

Ternyata, walaupun beliau memakai baju kurung dan fasih berbahasa Melayu, tetapi akuinya, ia tidak ‘mematikan’ keturunan Tionghua dalam dirinya kerana tetap memakai cheongsam pada Tahun Baharu Cina.

“Saya tetap orang Cina dan boleh berbahasa Cina, sebagaimana saya sayangkan budaya serta bahasa kaum saya, seperti itu juga saya sayangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Samantha berkata, baginya bahasa Melayu juga adalah lambang keharmonian semua kaum di Malaysia dan medium komunikasi yang menyatukan rakyat.

“Bahasa Melayu satu bahasa yang semua orang tahu dan memudahkan komunikasi antara kaum jadi tidak salah kalau kita menguasainya dengan fasih dan tidak gunakan ia hanya sebagai bahasa pasar saja.

“Kita tidak boleh memaksa orang lain belajar bahasa dan memahami adat budaya kita, sebaliknya kita perlu ada inisiatif untuk belajar bahasa dan budaya orang lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga harus menguasai bahasa kebangsaan sebaik mungkin,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X