Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:14pm
Tukang jahit, Siti Fauziah Masnan (kanan) bersama suami, Haniffa Jhon Asrol (kiri) serta anak-anaknya memperagakan koleksi pakaian yang mempunyai elemen Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan di Taman Amansiara, Selayang. - NSTP/Asyraf Hamzah

Semangat patriotik

TANGGAL 31 Ogos setiap tahun, suara kemerdekaan dizahirkan dengan semangat patriotik yang ditunjukkan dalam pelbagai cara.

Antara luahan itu ada menerusi gaya berfesyen menerusi pemakaian busana atau aksesori.

Berfesyen dengan menyuntik semangat itu dengan inovasi rekaan baharu, memasukkan elemen warna, motif jalur, bulan dan bintang.

Tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa, fesyen bagi menyemarakkan sambutan bulan Kemerdekaan seisi keluarga tanda kasih sayang, selain menyuntik semangat patriotik kepada negara dalam sisi berbeza.

Tudung, tanjak, aksesori dan busana antara pilihan popular disarungkan ketika menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan.

Di laman sosial misalnya, lambakan tawaran produk untuk digayakan bagi memeriahkan suasana hari bersejarah lantas meniup seruling perpaduan di negara ini.

Inovasi fesyen terbabit mungkin anda boleh cuba sempena Hari Kemerdekaan kali ini. Zahirkan kemerdekaan dalam apa saja yang mampu menyemarakkan semangat juang anak bangsa.


Mohd Zainudin Hassan, 41, menunjukkan tanjak Jalur Gemilang yang dibuat oleh adiknya, Mohd Ridzuan Hassan, 37, yang dijual serendah RM80 bermotifkan kemerdekaan yang ditempah pelanggan sebelum sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ketika ditemui di Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tanjak

Diberi nafas baharu mengikut tema merdeka. Tidak menggunakan fabrik bendera, tetapi diinovasi menggunakan fabrik lebih selesa seperti kain kapas tetapi masih menggunakan rona bendera Malaysia seperti biru, kuning dan merah. Ada juga rekaan yang menyelitkan lencana bendera sebagai motif utama utama rekaan tanjak merdeka.


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Balok, Jantan Yasin bersama guru wanita yang memakai tudung corak Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Tudung

Kanak-kanak mahupun wanita, menonjolkan semangat kemerdekaan menerusi pemakaian tudung merdeka dalam potongan bawal mahupun selendang panjang . Menggunakan fabrik satin mahupun kapas, pelbagai corak yang menzahirkan elemen kemerdekaan antara motif ada pada tudung merdeka. Bangunan sejarah, peta Malaysia, bunga kebangsaan seperti bunga raya antara suntikan motif menaikkan semangat patriotik pemakai hijab.

Busana

Baju kurung dewasa , gaun comel si cilik, baju pahlawan, jersey dan baju Melayu kanak-kanak antara yang memeriahkan sambutan hari merdeka saban tahun. Menggunakan fabrik selesa, sejuk dan rekaan segar, pemakai tampil dalam aura pencinta negara menerusi fesyen merdeka yang menzahirkan kasih sayang terhadap negara.

Suntikan rona merah, biru, kuning adalah rona wajib yang menterjemahkan semangat Malaysia dalam persalinan yang dipakai khusus untuk hari istimewa ini.

Aksesori

Perincian merdeka lebih gemilang apabila aksesori tambahan seperti topi dan kerongsang juga antara yang dizahirkan dalam jiwa kemerdekaan.

Dijual secara dalam talian mahupun di butik fizikal, kerongsang yang mengambil inspirasi dari lambang jalur gemilang iaitu bulan dan bintang.


Pertunjukan barang kemas pada majlis Perasmian Sambutan Hari Merdeka Habib di Suria KLCC bertemakan 'Habib Malaysia Celebrates 62 Sparkling Years'. - NSTP/Rosela Ismail

Koleksi barang kemas

Jenama barangan kemas, Habib antara ke hadapan menonjolkan semangat kemerdekaan menerusi rekaan barangan kemasnya kali ini menerusi sambutan Hari Merdeka Habib bertemakan 62 Sparkling Year.

Sempena bulan kemerdekaan, jenama ini melancarkan koleksi istimewa bertemakan emas kuning, putih, dan emas ros yang sesuai untuk dipadankan dengan busana baju kurung, kebaya, cheong sam, sari pakaian tradisi kaum Kadazan.

Rekaan barangan kemas merdeka ini lebih segar mengetengahkan rantai panjang berjurai sesuai dengan selera wanita moden yang menyuntik elemen patriotik pada rekaannya.

Berita Harian X