Khamis, 2 Ogos 2018 | 8:00am

The Ars'V Couture julang motif etnik Sabah

KOTA KINABALU: Pemilihan motif tradisi sesuatu etnik pada koleksi fesyen pakaian bukan sahaja dapat memupuk kecintaan terhadap seni budaya tempatan, malah ia memaparkan kelainan dalam penampilan.

Justeru, pemilik jenama The Ars'V Couture, Vinnie Nursyahirah Abdullah, memilih konsep rekaan moden dengan sentuhan motif etnik Rungus dan Bajau Kota Belud untuk koleksi busana.

Anak kelahiran Pitas, di utara Sabah itu memulakan perniagaan sejak dua tahun lalu, memasarkan motif etnik yang ada di Sabah itu bagi koleksi pada Aidilfitri ini.

"Saya masih mengekalkan ciri wajib setiap rekaannya berkonsepkan motif tempatan Sabah dengan gabungan kristal dan labuci pada baju kurung moden.

"Selain itu, rekaan turut menggunakan teknik 3D dengan memasukkan elemen sulaman dan tenunan bentuk bunga pada baju dan gaun petang khususnya untuk pakaian wanita," katanya.

Vinnie berkata, sejak mula terbabit dalam dunia fesyen, beliau lebih gemar menghasilkan rekaan tidak terlalu sarat dan sesuai dipakai pada semua acara, termasuk majlis rasmi atau dipakai ke pejabat.

"Sebelum ini, saya lihat ramai individu khususnya wanita hanya mendapatkan baju kurung pelbagai potongan atau pakaian bertemakan tradisional untuk hadir ke majlis tertentu sahaja.


Pereka The Ars'V Couture, Vinnie Nursyahirah Abdullah, 41, menunjukkan antara koleksi pakaian bermotifkan tradisi Sabah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Antara koleksi The Ars'V Couture bermotifkan tradisi Sabah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Ubah persepsi

"Tetapi saya mahu mengubah persepsi ini supaya pakaian kita hasilkan boleh dipakai untuk semua acara siang atau malam. Harga baju wanita bermula pada harga RM159.

"Selain baju wanita, The Ars'V Couture juga menyediakan kurta untuk lelaki turut menerapkan motif etnik tempatan berharga RM299 hingga RM339," katanya.

Vinnie berkata, beliau menerima banyak tempahan sempena hari raya tahun ini dan mengehadkan untuk mengelak tidak sempat menyiapkannya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia 8 hingga 21 tahun itu, berkata penghasilan setiap motif untuk dijahit pada pakaian mengambil masa agak lama disebabkan proses penghasilan setiap motif dilakukan secara manual.


Pereka The Ars'V Couture, Vinnie Nursyahirah Abdullah, 41, menunjukkan antara koleksi pakaian bermotifkan tradisi Sabah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Proses penghasilan satu motif tradisi sekurang-kurangnya mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu mengikut corak dan saiz," katanya.

Wanita berketurunan Rungus itu berkata, sebelum ini beliau menghasilkan rekaan baju kemeja, gaun petang dan pakaian kasual wanita dengan konsep sama.

"Gabungan corak tradisi ini dengan rekaan moden lebih menarik digayakan. Rekaan saya mendapat sambutan dan membuatkan saya lebih bersemangat mengembangkan usaha ini.

"Saya bercadang membuka butik di Kota Kinabalu dan menyertai pertunjukan fesyen bagi mengangkat rekaannya ke peringkat tertinggi," katanya yang merancang memasukkan pelbagai motif etnik lain seperti Murut dan Kadazan, pada masa depan.

Berita Harian X