Ahad, 29 Julai 2018 | 10:11pm
ANTARA rekaan yang diperagakan pada Minggu Fesyen Islamic Asia (AIFW) 2018 di Glam Hall Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

AIFW 2018 teruskan pertunjukan fesyen, selepas terpalit kontroversi

PETALING JAYA: Minggu Fesyen Islamic Asia (AIFW) 2018 yang berdepan kontroversi kerana dibatalkan pada saat akhir, Khamis lalu, tetap diadakan sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen tempatan dan antarabangsa, di sini malam ini.

Majlis asal sepatutnya diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), itu beralih tempat di Glam Hall Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana.

Pengasas AIFW 2018, Fuza Umar, berkata pihaknya tidak mahu lepas tangan, sebaliknya bertanggungjawab terhadap isu berkenaan dengan mengadakan pertunjukan fesyen berskala kecil.

Katanya, malam ini pihaknya anjurkan acara pertunjukan fesyen untuk menghargai sokongan pereka dalam dan luar negara yang sudah bersiap sedia untuk memperagakan koleksi masing-masing.


Pengasas AIFW 2018, Fuza Umar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Sejak tercetus isu ini, pada saat akhir juga ada pihak sudi menaja lokasi, sistem bunyi, pencahayaan, makanan dan minum. Beberapa pereka fesyen luar negara yang masih lagi berada di Malaysia diberi layanan baik," katanya ketika ditemui BH Online, di Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana, sini, malam ini.

Kelmarin, Ketua Pegawai Operasi MECC, Nor Azmi Sulong, dilaporkan berkata acara itu dibatalkan kerana pihak penganjur gagal mengikut perjanjian sewa lokasi.

Menjelaskan situasi itu, Fuza berkata pihak AIFW mengakui kesilapan tidak membayar sewa lokasi tetapi ada membuat perbincangan awal dengan meminta jasa baik MECC untuk menangguhkan bayaran selepas majlis.

"Pada awalnya, MECC bersetuju bagaimanapun ia dibuat secara lisan. Proses pembayaran sama seperti majlis yang kita anjurkan sebelum Ini.

"Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan MECC yang memberi peluang kami jelaskan bayaran sebelum jam 5 petang, pada Khamis lalu. Saya mengakui kesilapan itu dan tidak peka ketika perbincangan antara ke dua-dua pihak," katanya.

Fuza berkata, AIFW 2018 akan memulangkan semua yuran penyertaan kepada peserta walaupun terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan R500,000 berikutan pembatalan acara itu.

"Kami akan membayar semua wang penyertaan peserta selepas perbincangan itu termasuk pereka yang mengadakan pertunjukan fesyen pada malam ini.

"Kami memahami komitmen diberikan pereka fesyen yang sudah mengeluarkan belanja yang banyak untuk menyiapkan 20 koleksi pakaian baru sejak enam bulan lalu khusus untuk acara ini. "Jadi, hasil perbincangan bersama pereka, kami rasa bertanggungjawab dan akan memulangkan wang mereka," katanya.


ANTARA rekaan yang diperagakan pada Minggu Fesyen Islamic Asia (AIFW) 2018 di Glam Hall Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

AIFW yang mula di perkenalkan 2015, mencipta fenomena luar biasa tahun lalu. AIFW dianjurkan bagi memberi inspirasi dalam bidang peniagaan, selain mengadaptasi gaya hidup dan budaya pop berteraskan Islam.

Imej acara berprestij itu yang turut membawa jenama fesyen luar negara tercemar berikutan masalah bayaran sewa lokasi majlis.

Malam ini, sembilan daripada 24 pereka fesyen termasuk tiga dari Afrika Selatan, United Kingdom (UK) dan Indonesia terbabit dalam pertunjukan fesyen itu. Pereka fesyen yang memperagakan koleksi mereka antaranya, Banco Mimosa dan Ridzuan Bohari (Malaysia), Peace Collection, Daanya, Nursuraya (Dubai); Bulbulia (Afrika Selatan) dan WU. X. DOD (UK).

Berita Harian X