Jumaat, 27 Julai 2018 | 10:30pm
PERTUNJUKAN fesyen AIFW 2018 tidak diteruskan semalam berikutan penganjurnya tidak menjelaskan bayaran yang termaktub dalam perjanjian sewa. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Penganjur tak jelas bayaran - MECC

KUALA LUMPUR: Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) tidak membenarkan pelancaran pertunjukan fesyen Asia Islamic Fashion Week (AIFW) 2018 diteruskan semalam, berikutan penganjurnya tidak menjelaskan bayaran yang termaktub dalam perjanjian sewa.

Ketua Pegawai Eksekutif MECC, Nor Azmi Sulong, berkata penganjur AIFW Sdn Bhd tidak memberikan komitmen sepenuhnya terhadap bayaran, bagaimanapun akur dengan keputusan pembatalan itu bagi mengelak kesulitan.

Beliau berkata, MECC hanya berjumpa penganjur sehari sebelum tarikh pemasangan kelengkapan untuk pertunjukan fesyen kerana lokasi berpindah dari dewan asal iaitu di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) yang dipromosikan sebelum ini ke dewan A di MECC.

"Disebabkan kelewatan itu MECC membuat keputusan membatalkan acara berkenaan pada saat akhir," katanya ketika dihubungi BH.

Malam semalam, ruang legar lobi menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, kecoh apabila sekumpulan pereka fesyen dan tetamu yang bersiap sedia untuk acara pembukaan AIFW 2018, terkejut apabila dimaklum pembatalan saat akhir itu.

Acara AIFW 2018 sebelum itu dikatakan akan dirasmikan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Jeanne Abdullah, sebelum diteruskan berlangsung sehingga Ahad ini.


ANTARA reaksi pengunjung dan pereka fesyen yang hadir selepas Malam Perasmian AIFW 2018 semalam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

ANTARA reaksi pengunjung dan pereka fesyen yang hadir selepas Malam Perasmian AIFW 2018 semalam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ditanya mengenai jumlah kos yang perlu dibayar, Nor Azmi bagaimanapun enggan memaklumkan mengenainya, tetapi menegaskan bahawa tiada bayaran dibuat penganjur.

"Keputusan pembatalan itu adalah mengikut perjanjian perniagaan. MECC tidak bertanggungjawab terhadap pihak ketiga yang membabitkan peserta pameran, pereka fesyen serta penaja. Kami berurusan dengan AIFW Sdn Bhd saja," katanya.

Menjelaskan kekeliruan orang ramai terhadap MATRADE berikutan acara AIFW sepatutnya berlangsung di bangunannya, MATRADE dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya bukanlah penganjur acara berkenaan.

"Kami ingin menekankan bahawa MECC terletak di bangunan MATRADE yang bertindak sebagai agensi mempromosi perdagangan.

"Operasi pusat konvensyen dikendalikan syarikat bebas di bawah kontrak perjanjian dan bukan kendalian MATRADE ," katanya.

Sementara itu menerusi kenyataan media penganjur yang diberikan menerusi aplikasi WhatsApp malam semalam, AIFW mengesahkan pembatalan itu dibuat atas sebab tidak dapat dijelaskan.

Pengasasnya, Fuza Umar memaklumkan pihaknya melakukan yang terbaik untuk merealisasikan majlis pertunjukan fesyen berkenaan tetapi terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal.

"Kami cuba menyelesaikan semua dengan sebaik mungkin. Malangnya, insiden berlaku di luar kawalan menyebabkan kami membuat keputusan sukar untuk membatalkannya.

"Kami mengambil kira pelbagai aspek dan memperoleh kesepakatan dengan semua pihak yang terbabit dalam penganjuran acara ini.

"Berikutan itu kami memohon maaf kepada semua yang terbabit dan mengakui kesulitan itu menyusahkan pelbagai pihak," katanya.

Berita Harian X