Khamis, 3 Mei 2018 | 8:50am
PENGARAH Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani dan Pengarah Barangan Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, Anna Hull pada Majlis Pelancaran Pesonakan Dirimu Bersama Ariani dan Guardian edisi eksklusif lebaran di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Salhani Ibrahim
PENGARAH Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani dan Pengarah Barangan Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, Anna Hull bergambar dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Pesonakan Dirimu Bersama Ariani dan Guardian edisi eksklusif lebaran di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Salhani Ibrahim

Tudung Ariani separuh harga di Guardian

Kuala Lumpur: Peneraju perniagaan kesihatan dan kecantikan, Guardian Malaysia mengadakan kerjasama dengan jenama fesyen tudung, Ariani, memasarkan koleksi hijab eksklusif edisi lebaran.

Bertemakan 'mekar', empat cetakan tudung eksklusif itu dijual untuk pelanggan jenama itu menggunakan material berkualiti tinggi menerusi inspirasi flora tempatan dengan paduan rona lembut dan menarik.

Pengarah Barangan Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, Anna Hull, berkata sepanjang tempoh promosi dua bulan iaitu, bermula 1 Mei hingga 27 Jun, tudung itu boleh dibeli separuh harga, iaitu antara RM29.90 hingga RM89.90.

Katanya, sepanjang tempoh itu, pihaknya menawarkan harga antara 54 hingga 57 peratus lebih rendah berbanding harga disyorkan pasaran.

"Kami memperkenalkan koleksi rekaan istimewa ini khas sebelum Ramadan supaya pelanggan boleh membeli tudung dan selendang ini untuk digayakan pada lebaran nanti.

"Cetakan eksklusif tudung ini tampil dengan corak segar, material ringan, tahan lasak dan boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pesonakan Dirimu Bersama Ariani dan Guardian edisi eksklusif lebaran, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani.

Empat koleksi itu adalah essential basic shawl (kosong), blush printed square (tudung empat segi), blooming printed shawl (selendang) dan florescence premium shawl.

Hull berkata, Guardian jenama kesihatan dan kecantikan sentiasa mengutamakan keselesaan pelanggan.

Justeru, kerjasama itu dilihat rasional untuk memenuhi keperluan pelanggan secara menyeluruh.

"Bagi persiapan untuk Ramadan dan Syawal ini, kami percaya pelanggan mahu memiliki tudung terbaik pada harga berbaloi.

"Oleh itu, untuk memiliki tudung dan selendang ini, tiada pembelian minimum diperlukan. Pelanggan hanya perlu membeli satu produk daripada jenama yang mengambil bahagian dan layak membeli mana-mana tudung diinginkan.

"Antara jenama utama yang mengambil bahagian ialah Dermo Expertise, Maybelline, Pantene, Safi dan Thymos. Produk terbabit boleh didapati di lebih 430 rangkaian jenama ini," katanya.

Sementara itu, Farah berkata, kerjasama itu memudahkan pelanggan mendapatkan apa sahaja produk kecantikan di bawah satu bumbung.

"Tudung keluaran kami ini menepati selera pelanggan kerana ia memiliki perincian halus, eksklusif, sopan dan kontemporari dan praktikal," katanya.

Berita Harian X