Khamis, 24 Ogos 2017 | 10:02pm
PENGASAS Almari Chaha, Nur Aisyah Sharif bersama koleksi fesyen Almari Chaha. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGASAS Almari Chaha, Nur Aisyah Sharif bersama koleksi fesyen Almari Chaha. - Foto Saifullizan Tamadi

Rona putih lambang kesucian, kebersihan

MEMAKAI pakaian daripada rona putih adalah sunah bagi lelaki dan wanita sehingga ia menjadi simbol Islam apabila dijadikan pakaian untuk beribadat. Kebanyakan wanita bersolat bertelekung putih, jemaah haji memakai ihram putih dan jenazah dikafankan dengan kain serba putih.

Tidak dapat dinafikan, rona putih menjelmakan mesej positif apabila ia dikaitkan dengan kesucian dan kebersihan sebagaimana digalakkan dalam nilai Islam.

Rasulullah SAW bersabda: "Pakailah pakaian putih kerana pakaian seperti itu lebih bersih dan lebih baik. Dan kafanilah pula mayat dengan kain putih." (Riwayat Nasai')

Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, Rasulullah SAW menyarankan pemakaian busana rona putih pada zamannya atas sebab tertentu.

"Di Makkah cuaca amat panas, jadi pemakaian baju rona putih dapat mengelakkan terik matahari.

Ia juga mendidik umat Islam menjaga kebersihan dan berhati-hati dalam urusan harian supaya tidak tercemar kepada kotoran yang mudah dilihat jika memakai pakaian putih," katanya.

BLAUS labuh, bersulam serlah kesederhanaan personaliti Muslimah. - Foto Saifullizan Tamadi
BLAUS labuh, bersulam serlah kesederhanaan personaliti Muslimah. - Foto Saifullizan Tamadi

KOLEKSI fesyen Almari Chaha. - Foto Saifullizan Tamadi
KOLEKSI fesyen Almari Chaha. - Foto Saifullizan Tamadi

Jaga adab berpakaian

Katanya, pemilihan pakaian daripada fabrik berwarna putih secara tidak langsung menjadi latihan kepada setiap Muslim untuk menjaga dan menyedari pentingnya kebersihan seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan lelaki mungkin tidak mempunyai masalah untuk mengenakan busana serba putih berbanding wanita kerana pemilihan fabrik perlu tepat bagi mengelak baju dikenakan tidak menampakkan warna kulit atau bentuk tubuh.

Ini antara pesan Rasulullah SAW apabila sahabat memberikan pakaian putih untuk dipakai isteri mereka. Kata Baginda SAW, biarkan berlapik di dalamnya sehingga tidak terlihat bentuk dan tulang anggota wanita berkenaan.

Justeru, dinasihatkan wanita yang suka kepada rona putih menjaga adab dalam berpakaian dengan memastikan pemilihan fabrik yang tebal dan tidak jarang.

Sementara itu, pengusaha pakaian menggunakan label Almari Chacha, Nur Aisyah Sharif yang memfokuskan kepada jualan blaus Muslimah daripada rona putih menyifatkan warna berkenaan sebagai fesyen yang selamat dan mudah digayakan.

BLAUS putih tampil gaya elegan. - Foto Saifullizan Tamadi
BLAUS putih tampil gaya elegan. - Foto Saifullizan Tamadi

Blaus bercorak sulam

Beliau berkata, blaus putih juga mudah disuai padan dan dipakai berulang kali dalam gaya berbeza, antaranya dikenakan bersama seluar jenis palazzo dan skirt labuh. Malah, dari segi padanan tudung juga memberi pilihan lebih luas, sesuai dengan yang polos atau bercorak.

"Saya perhatikan tidak sukar untuk menjual busana rona putih kerana ia tidak pernah bermusim seperti warna lain. Ia sentiasa menjadi pilihan Muslimah yang berkerjaya kerana dapat menonjolkan personaliti si pemakai yang kelihatan sentiasa bersedia, berdisiplin dan berjiwa besar," katanya.

Katanya, aliran terkini pilihan fesyen blaus keluaran Almari Chacha adalah blaus bercorak sulam di bahagian tertentu seperti lengan dan sekeliling hujung baju kerana penambahan yang tidak terlalu menonjol memberikan impak elegan.

Menurut Nur Aisyah, antara koleksi Almari Chacha yang mendapat permintaan tinggi adalah tunik labuh berpotongan lurus dengan belahan di kiri dan kanan yang memudahkan pergerakan.

Selain itu, blaus berbentuk ekor ikan dengan potongan bulat di belakang, bahagian depan pula sedikit singkat dan bersilang menjadikannya cukup menarik digayakan terutama untuk aktiviti santai.

WARNA putih sesuai digayakan untuk semua majlis. - Foto Saifullizan Tamadi
WARNA putih sesuai digayakan untuk semua majlis. - Foto Saifullizan Tamadi

Putih gading lebih digemari

Bagi individu yang mempunyai tubuh agak gempal, blaus dinamakan 'barbie' boleh menyembunyikan bentuk tubuh supaya kelihatan lebih langsing kerana ia kembang di bahagian bawah dan tidak mempunyai potongan di pinggang.

Koleksi Almari Chacha menampilkan dua pilihan rona putih iaitu putih biasa dan putih gading yang seakan-akan warna krim. Blaus putih gading mendapat tumpuan kerana kelihatan lebih lembut dan menyerlah apabila disuai padan.

Warnanya juga kurang menonjol berbanding warna putih biasa sekali gus dapat mengelakkan daripada terlihat anggota aurat Muslimah tanpa disengajakan.

Nur Aisyah berkata, walaupun blaus keluarannya menggunakan fabrik berkualiti yang tidak jarang seperti como crepe, beliau sentiasa menasihatkan pelanggan supaya mengenakan inner atau pakaian dalam setiap kali memakai baju rona putih.

Baju keluarannya boleh dipakai oleh Muslimah berbadan besar dengan saiz disediakan sehingga ukuran 5XL dan 6XL.

INFO
Tips penjagaan baju putih

  • Rendam dengan air suam untuk menghilangkan kotoran degil padanya.
  • Asingkan baju putih, jangan dibasuh bersama pakaian daripada warna berbeza.
  • Basuh baju putih dengan menggunakan lemon dan soda bikarbonat untuk ketahanan warna.
  • Simpan pakaian putih di kawasan yang ada sinaran matahari, bukan di tempat gelap.
Berita Harian X