Rabu, 19 Julai 2017 | 12:07am
Aida Salina Abdul Ghani menggayakan tudung Henna. Foto L Manimaran
Aida Salina Abdul Ghani menggayakan tudung Henna. Foto L Manimaran

Tudung sentuhan motif inai

KUALA LUMPUR: Kehalusan dan keindahan motif inai yang lazimnya dilukis pada kulit, tidak lagi hanya menghiasi penampilan pengantin, sebaliknya ia kini diterapkan dalam dunia rekaan fesyen.

Malah, ia seakan mencetuskan fenomena fesyen, khusus bagi mereka yang menggemari kelainan.

Untuk rekaan fesyen, ada yang mengadaptasikan keunikan dan motif lukisan inai tangan yang penuh berseni itu pada aksesori digayakan seperti tudung.

Pemilik jenama, D'akhdar Exclusive, Nor Shuhada Abd Mutalib, 26, antara yang menerapkan keindahan seni halus inai pada koleksi tudung Henna, diketengahkan bagi memberikan kelainan.

Teknik lukisan inai diadaptasikan pada koleksi itu menerusi penggunaan pewarna fabrik sebagai bahan asas bagi mengganti inai.

Pengalaman beri inspirasi


Pengusaha tudung Henna, Nor Shuhada Abd Mutalib. Foto L Manimaran

Antara koleksi tudung Henna. Foto L Manimaran

Nor Shuhada berkata, pengalaman melukis inai tangan sejak tiga tahun lalu memberikannya inspirasi menerapkan kehalusan seni inai pada koleksi tudung ditampilkan itu.

Bagaimanapun, katanya, teknik lukisan inai tangan pada fabrik sedikit berbeza kerana permukaan fabrik pelbagai dan ada yang licin.

"Pengalaman perkhidmatan melukis inai memberikan idea untuk saya menghasilkan koleksi tudung dengan corak tersendiri menggunakan teknik lukisan inai.

"Selain motif menonjol dan berseni, setiap helaian dilukis tangan ini juga memberikan nilai eksklusif buat penampilan," katanya.

Idea spontan


Peralatan yang digunakan untuk membuat tudung Henna. Foto L Manimaran

Antara koleksi tudung Henna. Foto L Manimaran

Nor Shuhada berkata, lukisan inai diterapkan pada koleksi tudung itu lazimnya diluahkan mengikut keselesaan dan idea spontan.

Namun, beliau turut menerima cadangan dari pelanggan yang mahukan motif tertentu mengikut cita rasa tersendiri untuk perniagaan dijalankan dalam talian itu.

"Setiap lukisan diluahkan mempunyai nilai estetik tersendiri memandangkan ia lukisan tangan secara bebas dan tiada pendua.

"Oleh itu, sungguhpun menggunakan motif bunga yang sama, helaian koleksi tudung pastinya mempunyai ciri-ciri perbezaan dari segi kedudukan bunga atau saiznya," katanya

Nor Shuhada berkata, gabungan pilihan pewarna dengan rona tudung dan jenis fabrik digunakan, memainkan peranan penting bagi menyerlahkan lagi hasil lukisan inai pada tudung berkenaan.

"Pewarna yang terang tidak akan tampak menarik sekiranya dipadankan pada warna tudung yang gelap atau kusam.

"Antara pilihan rona digunakan adalah hitam, merah, kuning, merah jambu dan ungu manakala perak serta emas adalah warna paling mendapat sambutan kerana ia tampak lebih mewah," katanya.

12 rona semula jadi


Hamisah Omar Ali menggayakan tudung Henna. Foto L Manimaran

Pengusaha tudung Henna, Nor Shuhada Abd Mutalib. Foto L Manimaran

Katanya, koleksi tudung Henna diketengahkan menampilkan 12 rona semula jadi dan terang pada selendang sifon dan tudung bawal.

Selain tudung, beliau turut mengambil upah melukis pada busana pengantin yang mahukan kelainan corak menjelang hari istimewa.

"Saya juga menawarkan perkhidmatan melakar motif inai pada fabrik seperti baju-T dan busana pengantin yang ingin kelainan pada rekaan persalinan mereka.

"Bagaimanapun, perkhidmatan digunakan akan memerlukan tempoh masa lebih lama berbanding menghasilkan tudung mengikut motif ditempah," katanya.

INFO

Koleksi tudung Henna:

  • * Tampilkan 12 warna pilihan.
  • * Motif merangkumi, bunga dan abstrak.
  • * Harga tudung Henna, RM28 ke atas.
Berita Harian X