Selasa, 20 Jun 2017 | 12:04am
BERNARD Chandran. - Foto Saifullizan Tamadi

Inspirasi tiga dekad

TARIKAN dan keunikan rekaan busana persalinan diketengahkan pereka terkenal tanah air, Datuk Bernard Chandran sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi oleh pencinta fesyen.

Bagi menyemarakkan musim perayaan tidak lama lagi, pereka fesyen itu menampilkan koleksi 'Petang Raya' 2017/18 padat dengan rekaan cita rasa mewah bergaya.

Sentuhan koleksi mula diperkenalkan sejak 2006 itu menyingkap nostalgia lama yang membawa inspirasi gaya dari era 1950-an, 1960-an dan 1970-an masing-masing mempunyai tarikan tersendiri.

Koleksi ini dihasilkan dengan mengekalkan ciri tradisional, namun mengguna konsep dan revolusi baharu untuk digayakan pada hari raya nanti.

Gaya ikon selebriti tempatan

Bernard berkata, koleksi yang dipersembahkan itu inspirasi daripada pengalamannya yang banyak mengembara mengelilingi dunia sepanjang pembabitan kariernya itu.

Katanya, kesemua koleksi diketengahkan juga menyuntik inspirasi gaya ikon selebriti tempatan seperti Mariam Ismail, Saloma, Saadiah dan Rahimah Alias mempunyai cita rasa imej unik.

"Penggayaan selebriti ikonik tempatan membolehkan saya menghasilkan rekaan kurung lebih bergaya dengan elemen retro dan kontemporari.

"Saya menyelitkan cetakan grafik dari era 1970-an dengan potongan dan pemilihan fabrik mencerminkan budaya 1950-an dan 1960-an masing-masing mempunyai tarikan luar biasa," katanya.

Koleksi lebih ranggi

Ciri potongan dan rekaan feminin dan penuh glamor, Bernard mengetengahkan koleksi kurung lebih ranggi menerusi sport kurung, sarung pant, baju Kedah dan kaftan dengan potongan ekor ikan cukup menyerlah.

Selain itu, koleksi 'Petang Raya' 2017/18 turut padat dengan padanan material moden pelbagai bagi mengekalkan nilai moden sejajar dengan peredaran masa kini.

Menggabungkan pelbagai corak dan perincian, kemasan sulaman dan manik diterapkan pada koleksi kali ini juga menyerlahkan lagi elemen mewah pada penampilan menjelang lebaran ini.

Tidak kurang menariknya, baju kurung mempunyai potongan seperti blaus dan gaun diberikan identiti tradisional.

Koleksi baju Melayu lelaki

Koleksi ini diberikan sentuhan moden dengan percikan jaket ranggi pada bahagian luar baju kurung itu selain perincian menjadikan tarikan.

Rekaan diketengahkan ternyata cantik digayakan dan praktikal dipakai untuk pelbagai acara majlis sekali gus menggalakkan golongan muda supaya memakai pakaian tradisional dengan gaya moden.

Menariknya, koleksi musim ini turut mengetengahkan rekaan baju Melayu khusus buat lelaki sukakan sentuhan warna menyerlah dan lebih aktif.

Menghimpunkan elemen rekaan pakaian sukan, koleksi baju Melayu diketengahkan pereka ini cukup sempurna buat jejaka mahukan penampilan luar biasa.

Selain rekaan dan warna, potongan kemas dengan rekaan berstruktur diterapkan pada koleksi baju Melayu membuatkan sen tuhan baju Melayu ini menyerlahkan lagi susuk tubuh maskulin.

INFO: Koleksi Aidilfitri Bernard

  • Koleksi mengikut aliran terkini.
  • Pilih rekaan mengikut bentuk badan.
  • Fabrik selesa dengan cuaca.
  • Potongan tidak terlalu sendat.
  • Motif dan warna mengikut tema.
Berita Harian X