Isnin, 13 Oktober 2014 | 12:25pm

Tesla lancar Model S dengan ciri 'autopilot'

Tesla Model S
Tesla Model S

HAWTHORNE, California: Tesla Motors Inc mengambil langkah pertama ke arah pemanduan autonomi dengan menampilkan beberapa ciri yang membolehkan sedan elektrik keluarannya parkir sendiri dan mampu mengesan keadaan berbahaya.

Syarikat itu juga mengumumkan akan memperkenalkan varian pacuan empat roda (4WD) sedan Model S yang boleh memecut dari pegun hingga 100 km sejam dalam tempoh 3.2 saat tetapi kekal sebagai kenderaan yang cekap tenaga.

"Kereta ini seperti memiliki 'roller coaster' sendiri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, berjenaka pada pelancaran model itu.

Pengumuman Tesla itu sememangnya ditunggu-tunggu pasaran apabila Musk minggu lalu dalam tweetnya menyebut "sudah sampai masa memperkenalkan 'D' dan beberapa perkara lagi".

Pada pelancaran itu kelmarin, Musk menjelaskan 'D' bermaksud 'dua motor', bermakna 4WD roda Tesla akan mempunyai motor pada hujung casis untuk meningkatkan cengkaman tayar, selain motor menjana tenaga untuk menggerakan kenderaan.

Selain itu, Musk berkata, Model S yang mula dipasang di kilang pengeluaran, turut dilengkap dengan perkakasan dipanggil 'autopilot'.

Ciri itu membabitkan sistem radar jarak jauh dan pengimbas imej yang membolehkan kereta itu 'nampak' objek seperti tanda berhenti dan pejalan kaki di jalan serta sonar ultrasonik.

Kereta itu boleh parkir sendiri dalam garaj, menghidupkan pendingin hawa dan mengenal pasti halangan di jalan. Musk bagaimanapun mengingatkan sistem autopilot belum lagi berkawalan kendiri sepenuhnya, jadi pemandu belum boleh lagi tidur sambil pegang stereng.

Pelbagai ciri baharu berkenaan akan memberikan momentum kepada pelanggan Tesla sebelum model kenderaan elektrik ketiga keluaran syarikat itu, iaitu SUV Model X, dilancarkan tahun depan.

"Sebelum Model X dilancarkan, model yang akan meningkatkan daya penarik dan jumlah jualan Tesla, penambahbaikan yang ada pada Model S sudah cukup meletakkan kenderaan itu jauh terkehadapan berbanding pesaingnya," kata penganalisis kanan di Kelly Blue Book, Karl Brauer.

Pengeluar automotif dewasa ini sedang berlumba-lumba mengeluarkan kenderaan pandu sendiri, atau kenderaan autonomi yang membolehkan campur tangan paling minimum daripada pemandu. Kini, trend menunjukkan pengeluar sedang berusaha mengeluarkan kenderaan yang boleh brek sendiri apabila mengesan bahaya pelanggaran atau memperlahankan kenderaan apabila kenderaan di hadapan mula perlahan.

Bagaimanapun, pengeluar automotif mengakui ciri yang membolehkan kereta autonomi akan dikeluarkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dalam pada itu, firma enjin carian internet Google Inc sudah mencapai kemajuan besar dalam teknologi kereta tanpa pemandu sepenuhnya.

General Motors (GM) bulan lalu mengumumkan, Cadillac antara jenama dalam kumpulan itu, akan mengeluarkan sebuah kenderaan pada 2016 yang boleh berkomunikasi dengan kenderaan lain dan membolehkan teknologi pemanduan separa autonomi. - Reuters

Berita Harian X