Jumaat, 7 Januari 2022 | 4:54pm

28 hari Aiman Hakim Ridza 'mencari cinta'

PELUANG memperbaiki kesilapan dalam hubungan cinta sukar untuk datang buat kali kedua. 

Namun, menerusi drama bersiri 28 Hari Mencari Cinta, Faisal mendapat peluang itu. 

Ia mengisahkan Faisal, memiliki podcast sendiri dan bercita-cita melebarkan ke luar negara bagi menguji kebolehan sebagai penyampai radio. 

Bagi Faisal, perkara yang dicari adalah kebahagiaan dan kejayaan dalam hidupnya. 

Namun, satu perkara yang Faisal tidak boleh lupakan adalah cinta pertamanya dengan Saleha yang mempunyai ciri-ciri gadis idaman. 

Menerusi drama itu, Faisal tidak mengetahui alasan mereka berpisah kerana

Saleha meninggalkannya tanpa sebab serta tidak dapat dijejaki sehingga kini. 

Saleha pula meneruskan kehidupan sebagai perancang kewangan di sebuah syarikat swasta kerana tidak berminat untuk bekerja di syarikat milik ayahnya, Rahmat. 

Saleha ingin berdikari dan tidak mahu mengharapkan kesenangan hidup yang diberikan oleh ayahnya. 

Saleha bertunang dengan Danial atas kehendak Rahmat. Bagaimanapun, Saleha tidak menyukai sikap Danial yang suka berfoya-foya. 

Rahmat sering memuji Danial yang menjadi harapannya untuk terus memacu perniagaannya ke peringkat global. 

Saleha tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan sebenar yang bakal menghampakan ayahnya. 

Image

Dalam keadaan itu, Saleha teringat pada Faisal, cinta pertamanya yang dianggap sebagai seorang lelaki dungu yang selalu membuat kesilapan malah sering kali mengulanginya. 

Lelaki itu jugalah telah mengunci hatinya untuk mencintai dan mengharapkan agar satu hari nanti takdir akan menemukan mereka berdua.  

Podcast Faisal yang diberikan nama Love Barista membincangkan mengenai kisah cinta, memberi petua untuk mencari cinta dan juga menyelesaikan masalah cinta. 

Podcast Faisal mendapat sambutan ramai sehingga ada rakan Saleha yang tularkan podcast itu dan ini membuatkan Saleha ingin tahu apa yang menariknya mengenai podcast itu.  

Takdir menemukan kembali Faisal dan Saleha. Pada masa sama, Faisal mendapat tawaran kerja sebagai DJ di Australia. Dia harus berada di sana dalam masa 28 Hari. 

Di sinilah bermula syarat yang diberikan oleh Saleha kepada Faisal iaitu 28 hari mencari cinta untuk kembali berkasih. Faisal perlu mencari kesilapan dia dalam hubungan mereka dulu dalam tempoh 28 hari sahaja. 

Bagaimana pula dengan Airin yang menagihkan cinta daripada Faisal? Apakah bakal berlaku dengan hubungan Saleha dan tunangnya Danial? Adakah Faisal dan Saleha boleh kembali bahagia bersama? 

Saksikan 28 Hari Mencari Cinta bermula 23 Disember 2021, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam menerusi slot Lestary di TV3 dan strim secara langsung di www.tonton.com.my

Drama bersiri 15 episod ini diterbitkan oleh Orangetree Production Sdn Bhd, diarahkan oleh Ng Ken Kin dengan nukilan skrip oleh Anina Sahal, Marziah Manaf dan Norshyiella Annuar menampilkan barisan pelakon popular Aiman Hakim Ridza, Hannah Delisha, Ameerul Asyraf, Elly Arifin, Muaz Fitri, Khaty Azean, Aleza Shadan, Fiza Thomas dan ramai lagi. 

Untuk mendapatkan info terkini mengenai drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi @dramasangat.

Berita Harian X