Sabtu, 10 Jun 2017 | 10:54pm

Hijjaz tunai impian rai peminat

KUMPULAN Hijjaz meraikan 800 peminat pada majlis berbuka puasa di Shah Alam, malam ini.
KUMPULAN Hijjaz meraikan 800 peminat pada majlis berbuka puasa di Shah Alam, malam ini.

SHAH ALAM: Selepas tiga minggu program Gema Gegar Vaganza (GGV) berakhir, kumpulan nasyid Hijjaz merealisasikan impian mereka meraikan peminat pada majlis berbuka puasa di sini, malam ini.

Biarpun sekadar muncul naib juara, kumpulan yang popular dengan lagu Sumayyah itu tetap menunaikan hasrat meraikan penyokong dalam rancangan menghimpunkan penyanyi daripada industri nasyid dan dakwah terbabit.

Jurucakap kumpulan, Isman Nadim Isam, berkata pihaknya tidak menduga perancangan yang hanya dilakukan pada awal Ramadan itu berjaya mengumpul 800 peminat.

"Sejak berakhirnya GGV, kami terus terfikir untuk mengadakan sesuatu yang bermanfaat untuk peminat Hijjaz.

"Daripada maklum balas diterima, ramai peminat mencadangkan kami mengadakan majlis berbuka puasa bersama Hijjaz," katanya.

Selain menghiburkan peminat, kumpulan ini turut mengisi program buka puasa berkenaan dengan bacaan doa selamat, zikir, tahlil dan solat berjemaah.

Antara lagu nyanyian mereka pada acara berkenaan termasuklah Ramadan Bulan Berkat, Sri Kandi Cintaku, Potret dan Sumayyah.

Tambah Isman, lanjutan sambutan yang menggalakkan pada majlis itu, pihaknya merancang untuk mengadakan konsert Hijjaz pada tahun ini juga.

Berita Harian X