Rabu, 3 Mei 2017 | 9:50pm

Hijjaz gagal hibur peminat di Jakarta

KUMPULAN Hijjaz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KUMPULAN Hijjaz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid, Hijjaz, kecewa apabila gagal mengadakan persembahan sekali gus mengecewakan peminatnya di Jakarta, Indonesia, Ahad lalu, gara-gara jadual penerbangan mereka ditunda lebih enam jam tanpa dimaklumkan lebih awal.

Meskipun selamat tiba di republik berkenaan, Hijjaz yang diundang menjayakan persembahan pada Konsert Simfoni Tarbawi di Depok, Jakarta, terpaksa akur apabila dewan yang menjadi tempat sepatutnya mereka menyanyi sudah pun kosong.

Pengurus mereka, Nasir Deraman, berkata anggota kumpulan terbabit tentu saja kecewa dengan penundaan penerbangan itu.

"Bukan saja anggota Hijjaz yang kecewa, malah penganjur dan peminat mereka yang datang ke Jakarta dari serata tempat di Indonesia pastinya berperasaan sama.

"Kami bergegas ke KLIA sebaik saja berakhir program Gema Gegar Vaganza, Sabtu lalu, pada jam 1.30 pagi, untuk menunggu penerbangan yang dijadualkan berlepas jam 7.30 pagi. Kami perlu mendaftar masuk dua jam lebih awal, membuatkan masing-masing tiada pilihan selain terus ke lapangan terbang.

"Pada jam 2 pagi, kami menerima e-mail daripada syarikat terbabit yang mengatakan penerbangan kami ditunda ke jam 11.25 pagi. Kerana tiada pilihan, kami terpaksa mencari hotel bajet sekitar KLIA untuk memudahkan masing-masing sampai ke situ sebelum jam 10 pagi.

"Selepas menunggu berjam-jam, akhirnya kami dipanggil masuk dan pesawat berlepas tepat jam 1 tengah hari," katanya yang dihubungi BH Online, hari ini.

Hijjaz dijadualkan mengadakan persembahan pada jam 2 petang waktu Jakarta dan mereka hanya tiba di dewan persembahan sekitar jam 4.30 petang.

Tambah Nasir, sebelum ini mereka tidak pernah mengecewakan peminat di negara itu, mahupun pihak yang sering mengundang kumpulan terbabit ke sana.

"Kami kecewa apabila syarikat penerbangan tidak memaklumkan penundaan kali kedua itu, yang akan membuatkan kami tiba terlalu lewat di sana.

"Apabila pesawat berlepas pada jam 1 tengah hari, kami sudah menjangkakan takkan sempat mengadakan persembahan. Namun atas sikap profesional, kami tetap terbang walaupun tidak dapat mengadakan persembahan kerana setidak-tidaknya Hijjaz dapat berjumpa peminat.

"Tetapi, apabila sampai jam 4.30 petang di sana, dewan persembahan sudah kosong dan hanya tinggal beberapa pekerja sedang mengusung barang ke dalam lori. Saat itu, hati kami cukup hancur," katanya.

Berita Harian X