Selasa, 11 April 2017 | 1:24pm

Peminat terima saya jadi jahat - Izzue Islam

IZZUE Islam. - Foto Zunnur Al Shafiq
IZZUE Islam. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izzue Islam, mendedikasikan kemenangannya pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 kepada kelab peminat beliau, Izzuezers, yang menjadi tulang belakang kerjaya seninya sejak awal kemunculan lagi.

Izzue atau nama penuhnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, menganggap kemenangan yang diraih menerusi kategori Antagonis Pilihan sebagai penghargaan daripada peminat yang menyokong kepelbagaian watak dilakonkan beliau.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada isteri, peminat dan seluruh tenaga kerja drama Patahnya Sebelah Sayap yang banyak membantu saya untuk bergerak lebih jauh dalam bidang lakonan. Oleh itu, saya tidak terikat dengan watak hero semata-mata, sebaliknya terbuka membawakan pelbagai karakter.

"Secara spontan, saya turun dari pentas untuk menyerahkan trofi yang diraih kepada peminat yang berada di dalam dewan. Tidak sangka, lakonan saya membawakan watak antagonis turut mendapat pengiktirafan daripada mereka.

"Insya-Allah, saya berhasrat untuk bergerak lebih jauh dalam pelbagai cabang seni selepas ini. Pengiktirafan yang diberikan dianggap sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Izzue berjaya meraih kemenangan berkenaan hasil undian peminat yang menggemari lakonannya dalam drama Patahnya Sebelah Sayap.

Bercerita mengenai perkembangan bidang nyanyian, Forteen kini sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul Apa Ini Cinta ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.

"Lagu yang diketengahkan kali ini sedikit berbeza kerana kami memilih lagu berentak balada pula untuk hiburan peminat. Beberapa single terdahulu berentak rancak, jadi semestinya kami menginginkan kelainan kali ini buat peminat," kata Izzue.

Selain Izzue, Forteen yang sebelum ini popular dengan lagu Dekat Tapi Jauh turut dianggotai oleh One, Ameer dan Ariz.

Berita Harian X