Selasa, 28 March 2017 | 3:57pm

Azmi tiada hasrat tinggalkan Caliph Buskers

ANGGOTA Caliph Buskers, Azmi Saat. - Foto Amirudin Sahib
ANGGOTA Caliph Buskers, Azmi Saat. - Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Anggota Caliph Buskers, Azmi Saat, 29, mengakui terpaksa mengambil masa seminggu sebelum memaklumkan penyertaannya dalam pertandingan realiti, Gema Gegar Vanganza (GGV), kepada rakan sekumpulan.

Katanya, beliau tidak mahu anggota lain kumpulan itu berkecil hati kerana penganjur, Astro Oasis, tidak membuka tawaran kepada band yang bermain instrumen.

"Syukur, teman lain memahami hasrat saya memasuki pertandingan, yang bakal bermula pada 8 April depan, untuk menyahut cabaran, bukannya hendak bergerak solo.

"Apa pun, keutamaan saya tetap terhadap Caliph Buskers. Saya sedar kebimbangan mereka dan tidak pernah terlintas sedetik pun untuk meninggalkan kumpulan ini," katanya selepas sesi memperkenalkan peserta GGV musim pertama.

Selain Azmi, sembilan lagi penyanyi daripada pelbagai genre dan generasi menyertai rancangan terbabit, termasuk Hafiz Hamidun, Ana Raffali, Bienda, Izam EYE serta Wani.

Empat lagi penyertaan membabitkan kumpulan iaitu Hijjaz, Saujana, Mirwana serta UNIC, namun semua peserta akan diadili sama rata oleh tiga juri profesional.

Juri pula membabitkan Farihin Abdul Fatah dan selebriti Indonesia, Oki Setiana Dewi, serta seorang juri undangan pada setiap minggu. GGV diacarakan oleh Siti Nordiana, Achey (Bocey) dan Fikri (Lawak Solo).

Juara program itu bakal membawa pulang ganjaran wang tunai RM100,000; naib juara RM30,000 dan RM20,000 untuk tempat ketiga, manakala pemenang keempat menerima RM10,000. Masing-masing turut meraih trofi.

Sementara itu, Azmi berkata, beliau baru selesai menjalani rakaman single bersama Edry Abdul Halim berjudul Ayah yang bakal diperdengarkan dalam tempoh terdekat.

Akuinya, gabungan mereka berdua juga hanya sebagai projek khas selepas komposer dan penyanyi terbabit memujuknya untuk berkolaborasi menerusi lagu berkenaan.

Berita Harian X