Isnin, 6 March 2017 | 9:51pm
IZARA Aishah turut melawat ibu Diana Rafar, Rafimah Abd Rahman
IZARA Aishah turut melawat ibu Diana Rafar, Rafimah Abd Rahman

Diana lega ibu makin baik

TENGKU Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah (dua dari kiri) turut melawat ibu Diana Rafar, Rafimah Abd Rahman.
TENGKU Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah (dua dari kiri) turut melawat ibu Diana Rafar, Rafimah Abd Rahman.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Rafar, bersyukur apabila keadaan ibunya, Rafimah Abd Rahman, 72, yang dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu semakin baik.

Menurut Diana, 34, sebelum ini ibunya jarang dikejarkan ke pusat rawatan, justeru keadaan yang menimpa wanita berkenaan baru-baru ini tentu saja merisaukan mereka sekeluarga.

Kata pelakon filem Susuk itu, ibunya pada mulanya dimasukkan ke sebuah hospital di Shah Alam kerana disyaki keracunan makanan, hingga mengalami muntah yang teruk.

"Ibu saya awalnya dimasukkan ke bahagian kecemasan saja. Bagaimanapun, ketika pihak hospital berusaha mencari urat di lehernya, keadaan jadi sebaliknya hingga dia sesak nafas pula.

"Seterusnya ibu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari. Saya, adik-beradik dan ahli keluarga serta sanak-saudara lain agak bimbang kerana selama ini, walaupun pada usia awal 70-an, dia masih sihat dan jarang mendapat penyakit.

"Saya sendiri jadi panik melihatkan keadaannya. Selepas tiga hari di ICU, dia ditukar semula ke wad biasa. Alhamdulillah, keadaannya kini agak stabil. Bagaimanapun ibu masih menggunakan bantuan oksigen untuk pernafasan," katanya kepada BH Online.

Sepanjang mendapat rawatan di hospital berkenaan, ibunya turut dilawati Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah, selain beberapa rakan artis termasuk Izara Aishah.

"Saya berterima kasih kepada Tengku Laksamana Selangor yang sudi mencemar duli melawat ibu saya, juga kepada mereka yang berusaha datang ke hospital untuk melawat.

"Sejak awal ibu dimasukkan ke hospital, saya dan adik-beradik turut berkongsi berita keadaan kesihatannya di laman sosial. Alhamdulillah, berkat doa semua, termasuk mereka yang menitipkan salam dan komen di laman sosial, keadaan ibu semakin baik.

"Saya percaya kuasa doa orang ramai itu cukup besar kesannya. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik anda semua," kata isteri kepada pelakon Zamarul Hisham itu.

Berita Harian X