Isnin, 27 Februari 2017 | 5:56pm

Kecewa dengan penganjur, Azlan akan saman

 AZLAN Typewriter. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
AZLAN Typewriter. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Penyanyi, Azlan Typewritter, masih berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Konsert High Note yang berlangsung di Istana Budaya, November tahun lalu.

Beliau berkata, tindakan itu perlu selepas penganjur masih gagal melangsaikan kira-kira 70 peratus baki bayaran yang sudah dijanjikan sebelum ini.

"Saya memang akan mengambil tindakan mahkamah kerana sudah puas bertolak ansur dan berbincang dengan pihak penganjur.

"Saya kecewa kerana apa yang dipersetujui tidak dilunaskan, malah kami tidak berkira ketika membuat persembahan tempoh hari meskipun pelbagai isu timbul," katanya kepada BH Online.

Selain Azlan atau lebih mesra disapa Lan, konsert selama tiga malam itu turut membabitkan dua lagi penyanyi bersuara nada tinggi iaitu Ziana Zain dan Jaclyn Victor.

Sebelum ini, Ziana terlebih dulu menyatakan hasrat mengambil tindakan sama terhadap penganjur konsert terbabit, disusuli oleh Jaclyn.

Konsert berkenaan dikatakan kelam-kabut apabila ketiga-tiga penyanyi terbabit terpaksa menunggu hingga saat akhir pada hari persembahan bagi mendengar susunan muzik dan lagu yang bakal dinyanyikan.

Malah, mereka juga dikatakan tidak diberi peluang mengadakan latihan berikutan masalah sampingan membabitkan persediaan daripada pihak penganjur.

Berita Harian X