Isnin, 27 Februari 2017 | 3:41pm

Moonlight diangkat Filem Terbaik

PENERBIT, Adele Romanski (tengah); penulis/pengarah Barry Jenkins; penerbit, Jeremy Kleiner bersama barisan pelakon serta kru menerima trofi Filem Terbaik bagi 'Moonlight' pada majlis Anugerah Akademi ke-89 di Hollywood, California, hari ini. - Foto AFP
PENERBIT, Adele Romanski (tengah); penulis/pengarah Barry Jenkins; penerbit, Jeremy Kleiner bersama barisan pelakon serta kru menerima trofi Filem Terbaik bagi 'Moonlight' pada majlis Anugerah Akademi ke-89 di Hollywood, California, hari ini. - Foto AFP

LOS ANGELES: Kemuncak Anugerah Akademi Ke-89 kecoh apabila penyampai trofi tersalah umum pemenang kategori Filem Terbaik yang menjadi milik mutlak filem Moonlight, bukannya karya muzikal, La La Land.

Insiden memalukan itu berpunca apabila penyampai yang juga bintang lagenda, Faye Dunaway mengumumkan La La Land sebagai pemenang, sebaik diajukan sampul mengandungi keputusan oleh teman seangkatan, Warren Beatty.

Suasana jadi kekok disebabkan ketika keputusan sebenar diumumkan, barisan pelakon dan tenaga produksi filem La La Land sudah berada di atas pentas.

Menyedari berlaku kesilapan, penerbit La La Land, Jordan Horowitz bersuara dan menjelaskan kepada penonton bahawa pemenang sebenar adalah filem Moonlight. Horowitz juga menunjukkan kad keputusan yang tertera judul filem berkenaan sebagai pemenang Oscar.

Pelakon dan tenaga produksi La La Land kemudian bertindak 'sporting' dengan menyerahkan trofi emas itu kepada pemenang sebenar iaitu filem Moonlight arahan Barry Jenkins.

Filem Moonlight memaparkan kisah remaja mangsa buli lakonan Trevante Rhodes, Andre Holland, Janelle Monae, Ashton Sanders, Naomie Harris dan Mahershala Ali. Terdahulu, Mahershala memenangi trofi Aktor Pembantu Terbaik pada majlis gilang-gemilang itu.

Sementara itu, Beatty dilaporkan mendakwa sampul surat mengandungi keputusan yang diterimanya ketika itu, tertulis 'Emma Stone - La La Land'.

"Sebab itulah saya memandang Dunaway dan penonton agak lama... Saya tak bermaksud hendak buat jenaka," katanya.

Berita Harian X