Isnin, 27 Februari 2017 | 3:40pm

Nabil lega tugas sulung di Oscar berjalan lancar

NABIL Ahmad hanya sempat menemubual Jackie chan secara dekat.
NABIL Ahmad hanya sempat menemubual Jackie chan secara dekat.

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, 33, bersyukur apabila tugas sulungnya membuat liputan acara karpet merah Anugerah Akademi ke-89 di Hollywood, berjalan dengan lancar.

Saat perasaannya bercampur baur antara teruja dengan berdebar, pengacara Meletop itu berasakan dirinya sudah memberikan yang terbaik, malah beliau mengaku turut berbahasa Inggeris sepenuhnya sepanjang mengendalikan acara itu, dari awal hingga ke akhir.

Namun begitu, bekas juara Raja Lawak ini sedikit kecewa apabila impiannya untuk menemubual dua bintang utama La La Land, Ryan Gosling dan Emma Stone, tidak kesampaian.

Stone sebentar tadi diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik hasil persembahan mantapnya dalam filem bercorak muzikal itu. Filem berkenaan juga memenangi tujuh daripada 14 pencalonan yang diterimanya pada acara anugerah perfileman paling berprestij kali ini.

NABIL bergambar bersama Jasson Kennedy.
NABIL bergambar bersama Jasson Kennedy.

"Bukan rezeki saya, tak mengapalah. Mana tahu jika pada masa hadapan akan ada lagi peluang untuk mendekati mereka. Saya bagaimanapun sempat juga melambai dan menjerit nama Nicole Kidman serta Salma Hayek.

"Namun, saya rasa hati terubat sedikit apabila dapat menemubual Jackie Chan yang sangat 'sporting'. Memang seronok sangat dapat menemubual bintang tersohor itu kerana beliau orang yang jenis selamba. Selama ini saya hanya menonton filem lakonannya, tetapi Oscar kali ini menemukan kami," katanya kepada BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.

Sejurus selesai tugasannya, Nabil mengakui beliau berasa sangat lega.

"Tiada lagi tekanan. Malah, ketika mengendalikan acara berprestij itu, saya tidak terlalu memikirkan apa kesannya. Syukur, saya boleh berkomunikasi dengan baik di sana. Perasaan itu pula saya mampu buang ke tepi," katanya yang turut dikenali menerusi program HBO Sentral.

Berita Harian X