Isnin, 27 Februari 2017 | 7:07am

La La Land diramal sapu bersih trofi Oscar

KUALA LUMPUR: Nasib 62 filem yang bersaing dalam 24 kategori pada Anugerah Akademi Ke-89 yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dari Dolby Theatre di Hollywood, California, akan diketahui, hari ini.

Menghimpunkan ratusan karyawan seni, anugerah berprestij industri perfileman Hollywood yang dikenali sebagai The Oscars itu, bermula dengan acara karpet merah pada jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Paling menarik tumpuan, sudah pasti filem arahan Damien Chazelle, La La Land yang dicalonkan dalam 14 kategori.

Disebut-sebut bakal mendominasi acara, karya yang memaparkan realiti kehidupan bintang di Hollywood itu menjadi calon 'favourite' netizen pada majlis anugerah gilang-gemilang ini.

Meraih lima trofi pada Anugerah BAFTA Ke-70 di London pada 12 Februari lalu, La La Land tercalon dalam kategori sama iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Muzik Terbaik.

La La Land turut turut menarik perhatian melalui pencalonan dalam sembilan kategori lain termasuk Pelakon Wanita Terbaik. Sudah tentu, perhatian tertumpu kepada Emma Stone yang mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik pada BAFT Ke-70.

Mengekori rapat filem La La Land, Moonlight dan Arrival masing-masing menguasai lapan pencalonan. Malah, filem yang mengungguli kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada BAFTA Ke-70, Manchester by the Sea, turut dicalonkan dalam enam kategori bersama filem Hacksaw Ridge dan Lion.

Anugerah Akademi ke-89 akan dihoskan Jimmy Kimmel dengan persembahan hebat daripada artis popular seperti John Legend, Sting, Justin Timberlake dan Sara Bareilles.

Anugerah Akademi Ke-89 turut dibawa melalui tayangan eksklusif Anugerah Oscars oleh HBO Asia di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada jam 7.30 pagi.

Apa yang menarik, pengacara tempatan, Nabil Ahmad bakal mengendalikan segmen karpet merah secara langsung dari Dolby Theatre, untuk acara tontonan eksklusif itu.

Majlis itu dihadiri artis seperti Kamal Adli, Daphne Iking, Juliana Evans dan Emma Maembong. Turut memeriahkan acara Hisyam Hamid, Zarul Husin, Mark Adam, Jamal Jamaluddin, Akhmal Nazri dan Fahrin Ahmad.

Bertemakan 'black tie', acara itu diserikan dengan segmen karpet merah artis tempatan persis suasana di Dolby Theatre, Hollywood.

Bagi peminat tempatan, acara karpet merah Oscar akan disiarkan secara langsung menerusi HBO saluran 431 dan Astro On The Go pada jam 8 pagi, diikuti majlis penganugerahan pada jam 9 pagi.

Berita Harian X