Ahad, 26 Februari 2017 | 9:50pm
Nabil Ahmad yang berada di Los Angeles untuk liputan Anugerah Academy ke-89.
Nabil Ahmad yang berada di Los Angeles untuk liputan Anugerah Academy ke-89.

Nabil gementar buat liputan acara karpet merah Oscar

Nabil Ahmad yang berada di Los Angeles untuk liputan Anugerah Academy ke-89.
Nabil Ahmad yang berada di Los Angeles untuk liputan Anugerah Academy ke-89.

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, mengakui beliau gementar dan teruja untuk membuat liputan acara karpet merah Anugerah Academy ke-89.

Beliau yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp sekitar jam 5 pagi di Los Angeles, Amerika Syarikat, tetap optimis untuk mengemudi peluang itu.

"Gementar itu biasa. Tapi saya akan cuba yang terbaik. Melihat sokongan peminat menerusi komen di laman sosial, hati saya jadi berkobar-kobar.

"Saya juga akan cuba berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sebaik mungkin, " katanya.

Katanya, beliau ingin mencuri peluang untuk menemubual pelakon utama filem La La Land, Ryan Gosling dan Emma Stone.

"Tak ketinggalan Denzel Washington. Nampak macam mustahil. Tapi siapa tahu rezeki saya," katanya.

Nabil juga membuat ramalan La La Land akan menang besar pada acara yang diadakan di Dolby Theatre di Hollywood, California itu.

Filem La La Land dianggap karya paling mirip realiti dunia perfileman di Hollywood, bersaing dalam 14 kategori pada acara gilang-gemilang yang akan berlangsung esok.

"Filem itu memang disebut-sebut mampu menyinar. Tapi apa sahaja boleh jadi. Saya sendiri teruja dan tak sabar menanti keputusan rasmi, " katanya yang akan menyarung persalinan rekaan Razman Razmi.

Oscar ke-89 akan berlangsung mulai jam 8 pagi esok, waktu Malaysia. Liputan Nabil dan acara gilang gemilang itu juga akan disaksikan teman media dan rakan artis di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, di sini.

Acara karpet merah Oscar akan turut disiarkan secara langsung menerusi HBO saluran 431 dan Astro On The Go pada jam 8 pagi, diikuti majlis penganugerahan pada jam 9 pagi.

Sebelum ini, tugas berkenaan dipikul pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Berita Harian X