Selasa, 7 Februari 2017 | 9:07pm

Jaclyn sokong hasrat Ziana

Jaclyn Victor
Jaclyn Victor

PETALING JAYA: Penyanyi, Jaclyn Victor, menyokong keputusan Ziana Zain yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Konsert High Note 2016 kerana gagal menjelaskan baki bayaran persembahan seperti dijanjikan.

Jaclyn, 38, yang turut terbabit dalam konsert anjuran DME Entertaintment, Segitiga Asia dan CMPagro di Istana Budaya pada 25 hingga 27 November tahun lalu itu berkata, beliau juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.

"Terus-terang, sebaik saja konsert tiga hari itu tamat, saya trauma. Seperti Kak Ziana, saya turut dibayar separuh saja manakala bakinya masih gagal dijelaskan sehingga ke hari ini.

"Difahamkan, Kak Ziana akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur berkenaan. Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan," kata Jaclyn ketika ditemui pada sidang media Konsert Muzik4Humanity di Restoran Khadijah's Kitchen, di sini petang ini.

Ziana Zain
Ziana Zain

Menurut juara Malaysian Idol musim pertama ini, kejadian berkenaan membuatkan dirinya pasti lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya harap apa yang berlaku ini akan menjadi pengajaran buat artis supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dalam perkara membabitkan bayaran.

"Bukanlah saya hendak kata semua penganjur tidak boleh dipercayai, tetapi biarlah urusan itu dibuat lebih teliti dan direkodkan," tegas penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Gemilang ini.

Selain Ziana dan Jaclyn, seorang lagi penyanyi lagu nada tinggi yang turut menjayakan konsert terbabit ialah Azlan Typewriter.

Berita Harian X