Jumaat, 3 Februari 2017 | 9:18pm

Ben Nathan tunjuk tindak balas positif

BEN Nathan.
BEN Nathan.

KUALA LUMPUR: Mula menunjukkan tindak balas positif selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan mental, penyanyi era 1980-an, Ben Nathan ada meminta kebenaran keluarga meninggalkan wad.

Bagaimanapun, permintaan Ben yang dipercayai didorong perlakuannya yang suka keluar dari rumah dan merayap, dihalang keluarga yang mahukan dia berehat.

Anak saudara penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu, Suguna Selva Raju, 30, memberitahu BH Online, Ben tidak membantah apabila dihalang meninggalkan wad.

"Memandangkan Pakcik Ben sudah biasa keluar dan berjalan, kadang-kala dia minta mahu keluar. Tetapi selepas dipujuk, dia okay saja," katanya.

Semalam, Ben yang mencetuskan kontroversi apabila rakaman klip video yang memaparkan dirinya hidup gelandangan dan tidak terurus menjadi viral, dihantar ke HKL oleh Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave dan anggota keluarganya selepas ditemui di Brickfields, di sini.

Suguna berkata, bapa saudaranya ada bertanyakan mengenai nenek hingga menyentuh hati anggota keluarga yang lain.

"Lebih menyentuh hati, Pakcik Ben bertanya mengenai nenek. Setakat ini, nenek saya belum tahu apa-apa lagi mengenai perkembangan terbarunya. Nenek hanya tahu Ben sibuk bekerja," katanya.

Suguna berkata, keluarganya merancang menemukan neneknya dengan bapa saudaranya itu apabila keadaannya sudah stabil.

Menurutnya, bapa saudaranya itu segar selepas berehat dan membersihkan diri.

"Pakcik Ben sekarang lebih stabil selepas mendapat makanan dan tidur yang mencukupi. Selepas dimasukkan ke wad semalam (kelmarin), bapa saudara saya dapat mandi.

"Dia tampak lebih ceria dan cerah berbanding sebelum ini. Pakcik Ben boleh berbual seperti biasa dengan kami sekeluarga. Apa saja kita tanya, dia akan jawab dengan baik dan lancar," katanya.

Suguna berkata, seluruh anggota keluarga terkejut kerana kisah bapa saudaranya itu mendapat maklum balas dan sokongan positif peminat dan netizen selepas kisahnya dipaparkan media.

"Kami tahu Ben pernah berada dalam dunia glamor suatu ketika dulu. Tetapi kami tidak sangka dia mempunyai peminat yang begitu ramai.

"Walaupun ada yang berlainan agama, kami lihat komen yang diberi dalam laman sosial, semuanya memberi sokongan dan mahukan Pakcik Ben kembali ke arena seni.

"Saya fikir kalau Pakcik Ben membaca komen itu, dia akan bangga dengan dirinya," katanya.

Beberapa hari lalu, kisah Ben atau nama sebenarnya, Ben Adam Patmanathan Abdullah hangat diperkatakan selepas klip video dimuat naik pemilik Facebook (FB), Mannin Mainthan Malaysia (MMM) memaparkan bekas penyanyi itu hidup sebagai gelandangan.

Sejak beberapa tahun lalu, penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu dikatakan sering berkeliaran di sekitar Pasar Seni, Muzium Negara, Brickfields, Masjid Jamek dan Ampang.

Berita Harian X