Jumaat, 3 Februari 2017 | 11:24am

Ibu tak tahu keadaan Ben Nathan

BEN Nathan.
BEN Nathan.

KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi era 1980-an, Ben Nathan, 54, yang memilih hidup sebagai gelandangan di ibu kota sejak lebih dua dekad lalu dirahsiakan daripada pengetahuan ibunya.

Anak saudara penyanyi itu, Suguna Selvaarajoo, 30, memberitahu, neneknya, Muniamal, 80, hanya tahu Ben yang juga anak ketujuh daripada 11 beradik, hidup normal.

Suguna berkata, keluarga terpaksa berbohong bagi mengelak nenek yang menetap dengan abang sulung Ben, jatuh sakit kerana risaukan bapa saudaranya itu.

"Nenek sayangkan Pakcik Ben. Selalunya, kalau dia kerap bertanya mengenai Kanna, kami akan cari Pakcik Ben dan meminta dia bercakap dengannya di telefon.

"Pakcik Ben tidak boleh berbahasa Tamil, dia cuma fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Jadi kedua-duanya akan berbual dalam bahasa Melayu.

"Walaupun tidak berborak panjang, Pakcik Ben akan minta nenek jangan risau sebab dia sihat dan cukup makan pakai," katanya kepada BH Online.

Suguna berkata, dia rasa bersalah terpaksa membohongi nenek mengenai keadaan bapa saudaranya itu.

"Kami tidak mahu nenek risau. Apa yang pasti, kami memantau pergerakan Pakcik Ben walaupun beberapa bulan kebelakangan ini sukar untuk menjejakinya," katanya.

Ditanya sama ada neneknya mendesak untuk bertemu anaknya itu, akui Suguna, barangkali menyangka Ben sibuk, neneknya tidak kisah asalkan dapat berbual melalui telefon.

"Dulu, ketika kecil saya duduk dengan nenek di Taiping. Pakcik Ben ketika itu sudah popular. Tuntutan kerjaya sebagai penyanyi membuatkannya sukar untuk kerap pulang ke kampung.

"Jadi mungkin nenek sudah biasa begitu. Biar apapun, bapa saudara saya seorang anak yang baik.

"Ketika dia sihat dan boleh bekerja dulu, dia tidak lupa menghulurkan wang untuk nenek. Cuma sikap pendiam membuatkan ramai tidak tahu masalah dihadapi," katanya yang ingin melihat bapa saudaranya itu kembali sihat.

Semalam Ben yang terkenal dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membolehkan doktor memantau tahap kesihatan dan mentalnya.

Ben dibawa ke HKL oleh Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave dan anggota keluarganya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kontroversi tercetus apabila klip video yang memaparkan Ben dalam keadaan tidak terurus menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

Melalui paparan klip video itu, Ben yang comot dengan pakaian kusut-masai, dilihat menerima angpau daripada individu yang merakamkan video terbabit.

Berita Harian X