Rabu, 25 Januari 2017 | 6:14pm

Meryl Streep pegang rekod 20 pencalonan Oscar

MERYL Streep.- Foto AP
MERYL Streep.- Foto AP

LOS ANGELES: Aktres berpengalaman, Meryl Streep, 67, mempertahankan rekod sebagai pelakon dengan pencalonan terbanyak Anugerah Academy pada acara pengumuman senarai akhir untuk trofi Oscar, semalam.

Kali ini, persembahan mantapnya sebagai penyanyi opera yang dikatakan bersuara buruk dalam filem Florence Foster Jenkins membolehkan beliau dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Pada majlis yang dijadualkan berlangsung di Dolby Theater pada 26 Februari depan, Streep bakal bersaing dengan Emma Stone (La La Land), Natalie Portman (Jackie), Ruth Negga (Loving) dan Isabelle Huppert (Elle).

Sepanjang majlis pengiktirafan terbesar Hollywood yang sudah memasuki musim ke-89, Streep meninggalkan jauh Katharine Hepburn dan Jack Nicholson.

Dua bintang legenda itu masing-masing pernah menerima 12 pencalonan Oscar.

Sekali gus, kejayaan Streep meraih pencalonan sebanyak 20 kali dalam acara terbabit membuktikan pengiktirafan pemerhati filem terhadap kemampuannya membawakan pelbagai watak sejak kebangkitannya di arena lakonan pada penghujung era 70-an.

Sehingga kini, bintang yang sudah memenangi 157 trofi daripada pelbagai majlis anugerah itu dicalonkan sebanyak 16 kali dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy, manakala empat lagi dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Demi meraikan pencapaian itu, Streep menerusi pasukan publisiti beliau mengirimkan sebuah gambar bergerak yang menunjukkan dirinya seperti menari riang dan penuh rasa bangga.

Terdahulu, Presiden Academy, Cheryl Boone Isaac, turut mengumumkan La la Land yang dibintangi Emma Stone dan Ryan Gosling menerima pencalonan tertinggi bersama 14 kategori, termasuk Filem Terbaik.

Sekali gus prestasi filem muzikal, yang sebelum ini membawa trofi utama Anugerah Golden Globe, menyamai kemanisan pernah diraih oleh Titanic (1997) dan All About Eve (1950).

Seakan menepis tanggapan Oscar sebagai anugerah bersifat perkauman, kali ini satu lagi sejarah tercipta apabila aktres kulit hitam, Viola Davis, menerima pencalonan ketiganya. Beberapa lagi pelakon bukan kulit putih lain turut diumumkan sebagai calon akhir anugerah terbabit.

Antaranya aktor British keturunan India, Dev Patel, bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Lion), selain Mahershala Ali dan Naomie Harris yang meraih perhatian dalam filem Moonlight.

Berita Harian X