Isnin, 9 Januari 2017 | 7:01pm

Meryl Streep 'serang' Trump pada Anugerah Golden Globe

PENERIMA trofi Cecil B DeMille, Meryl Streep. - Foto Reuters
PENERIMA trofi Cecil B DeMille, Meryl Streep. - Foto Reuters

LOS ANGELES: Penerima trofi Cecil B DeMille, Meryl Streep, 67, meraih tepukan gemuruh sebaik melangsaikan ucapannya pada Anugerah Golden Globe ke-74, pagi tadi.

Penuh emosi, bintang yang dihormati warga Hollywood itu menyelar bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sebelum ini terkenal dengan sikap anti-imigran.

"Sekadar menyebut semula apa yang diperkatakan Hugh Laurie, anda dan kita semua di dalam dewan ini dipandang sinis oleh masyarakat Amerika sekarang. Cuba renungkan perkara ini - Hollywood, orang asing dan media.

"Tetapi siapa kita dan apa sebenarnya Hollywood? Ia hanya sekelompok manusia dari tempat lain. Saya dilahirkan dan mendapat pendidikan di sekolah awam di New Jersey. Viola (Davis) dilahirkan di sebuah kabin di Carolina; Sarah Paulson dibesarkan ibu tunggal di Brooklyn.

"Amy Adams dilahirkan di Vicenza, Italy; Natalie Portman dari Baitulmaqdis. Si cantik Ruth Negga asal Ethiopia; Ryan Gosling adalah penduduk Kanada; Dev Patel kelahiran Kenya. Jadi Hollywood digerakkan dengan kehadiran orang luar dan juga orang asing.

"Jika kira tendang mereka keluar, anda tiada lagi apa-apa untuk ditonton. Cuma ada bola sepak dan seni mempertahankan diri yang bukan boleh dikategorikan sebagai seni," kata aktres yang sudah hampir empat dekad berada dalam industri itu.

Streep yang membaca kertas ucapannya turut menentang sikap buruk Trump yang terbuka mengejek seorang wartawan kurang upaya, Serge Kovaleski, dari The New York Times.

"Hati saya luluh melihat seorang yang duduk di kerusi tertinggi di negara ini mengajuk wartawan kurang upaya. Insiden itu tidak hilang daripada ingatan saya. Perkara itu seakan-akan memberikan kebenaran untuk orang lain berbuat perkara sama," katanya yang tidak menyangka perbuatan sebegitu wujud di dunia realiti.

Selepas meluahkan perasaannya, Streep sempat memberikan penghormatan terhadap pemegang watak Princess Leia dalam siri filem Star Wars, Carrie Fisher, yang meninggal akhir tahun lalu.

Terdahulu, anugerah khas yang diberikan kepadanya pernah diterima Denzel Washington, George Clooney, Woody Allen, Jodie Foster, Morgan Freeman, Robert De Niro, Martin Scorsese, Steven Spielberg dan Warren Beatty.

Jimmy Fallon selaku pengacara majlis juga lebih dulu melancarkan monolog berisi lawak sinikal membabitkan Trump, dengan menyamakan lelaki itu dengan Raja di dalam siri Game of Thrones.

Sementara itu, menerusi temu bual telefon, Trump yang diminta memberikan komen berhubung ucapan Streep menegaskan tidak terkejut dengan 'serangan penggiat filem yang liberal'.

Terdahulu, Anugerah Golden Globe kali ini menyaksikan filem muzikal La La Land melakar sejarah baharu penganjuran dengan membolot tujuh kemenangan, manakala Filem Terbaik kategori Drama pula diraih Moonlight.

Berita Harian X