Sabtu, 3 Disember 2016 | 3:55pm

Ainan Tasneem nekad bersara selepas berumah tangga

PENYANYI Ainan Tasneem, - Foto Munira binti Abdul Ghani
PENYANYI Ainan Tasneem, - Foto Munira binti Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ainan Tasneem, 24, mengakui belum lagi merasai debaran menantikan detik dinikahkan dengan jurutera, Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi pada 6 Januari ini.

Ainan atau nama penuhnya Ainan Tasneem RIdzuan, berkata, perasaan itu mungkin belum dirasai kerana kesibukannya memenuhi undangan nyanyian selain melunaskan tanggungjawab sebagai penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan BioProses di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Ketika ini, saya masih lagi sibuk dengan pengajian selain jadual harian yang sentiasa padat. Mungkin kerana itu, saya tidak begitu merasai debaran untuk menaiki jenjang pelamin. Entahlah, mungkin terlalu awal untuk saya merasakannya kerana masih ada beberapa minggu lagi sebelum saya menamatkan zaman gadis," katanya yang dihubungi BH Online.

Ainan dan Ariffudin akan disatukan pada majlis pernikahan secara tertutup di sebuah lokasi di Shah Alam. Majlis resepsi yang akan dihadiri kira-kira 1,500 tetamu pula diadakan pada 7 Januari ini di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.

Sementara itu, Ainan juga mengakui lega kerana kesibukan itu tidak menghalangnya untuk memastikan persiapan perkahwinannya berjalan dengan lancar.

Penyanyi lagu Aku Suka Dia itu turut melantik seorang perancang perkahwinan yang akan menguruskan daripada awal persiapan hingga majlis sempurna. Ainan juga bersyukur kerana mendapat rezeki tajaan perkahwinan.

"Alhamdulillah, saya anggap semua ini rezeki buat saya dan keluarga. Doakan perjalanan majlis kami berjalan dengan baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ainan juga nekad untuk berhenti menyanyi selepas berkahwin seperti yang pernah dinyatakannya kepada media sebelum ini.

"Saya sudah nekad untuk berhenti menyanyi, tetapi tidak akan menolak jika menerima tawaran pengacaraan. Seandainya diberi peluang, saya masih berminat untuk menghasilkan lagu tetapi tidak akan sesekali kembali menyanyi," katanya.

Berita Harian X