Rabu, 30 November 2016 | 1:02pm

Jaclyn Victor masih meremang nyanyi Gemilang

PENYANYI, Jaclyn Victor. -Foto Hasriyasyah Sabudin
PENYANYI, Jaclyn Victor. -Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Jaclyn Victor menganggap lagu Gemilang sebagai lagu 'cari makan' yang mempunyai nilai sentimental hingga setiap kali persembahan pasti bulu romanya meremang.

Baginya, dendangan ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Asmin Mudin itu juga masih meninggalkan impak kepada khalayak walau sudah diperdengarkan sejak dia memenangi pertandingan Malaysian Idol, lebih sedekad lalu.

"Gemilang cukup sentimental buat diri saya secara peribadi dan kerjaya seni saya. Rasa cepat masa berlalu kerana ia diperkenalkan 12 tahun lalu. Saya bertuah gabungan melodi dan lirik meninggalkan momentum tersendiri hingga kini.

"Sentiasa ada permintaan setiap kali saya beraksi sama ada untuk majlis korporat atau konsert. Seperti judulnya, ia sangat berbekas di hati. Lagu ini pembakar semangat untuk saya terus terbang tinggi," katanya yang turut menyampaikan Gemilang ketika Konsert High Note, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas kekecohan ketika malam pertama konsert yang turut membariskan Ziana Zain dan Azlan Typewriter itu, dia enggan bersikap mementingkan diri sebaliknya meneruskan tanggungjawab biar banyak kelemahan teknikal.

"Saya kena fikir amanah untuk peminat yang datang dari jauh termasuk luar negara. Apa yang terjadi di belakang pentas, itu perlu ditelan saja. Di pentas saya kena berikan yang terbaik. Malam pertama memang ia beri kesan. Bayangkan jam 7 malam pun saya belum pegang mikrofon atau mendengar susunan muzik.

"Saya cuba berlagak tenang tetapi dalam hati huru-hara. Penonton tidak mahu tahu kita berdepan situasi genting atau kita sakit pun kerana paling utama adalah menghiburkan mereka. Segala masalah perlu diletak ke tepi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jaclyn akan masuk ke studio bagi merakamkan single baharu yang turut menyaksikan isteri kepada anggota Az Yet, Shawn Rivera itu menulis lirik lagi.

Berita Harian X