Sabtu, 12 November 2016 | 7:39am

Aktor Robert Vaughn meninggal dunia

 ROBERT Vaughn. - Foto REUTERS
ROBERT Vaughn. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Robert Vaughn, aktor yang terkenal memegang watak Napoleon Solo dalam siri perisikan televisyen Amerika Syarikat (AS), "The Man from U.N.C.L.E", meninggal dunia hari ini kerana leukemia.

Beliau berusia 83 tahun.

"Vaughn menghembuskan nafas terakhirnya (di New York) dengan anggota keluarga berada di sisinya," kata pengurusnya, Matthew Sullivan memberitahu majalah Deadline Hollywood.

Pelakon terkenal itu meninggalkan isteri, Linda, anak lelaki, Cassidy dan anak perempuan, Caitlin.

Lahir di New York, Vaughn menjadi perhatian apabila dicalonkan untuk Anugerah Oscar kerana wataknya dalam "The Young Philadelphians" pada tahun 1959.

Setahun kemudian, dia berlakon sebagai lelaki bersenjata yang diburu dalam filem popular Barat, "The Magnificent Seven."

Meskipun aktor itu mempunyai senarai lakonan yang panjang, dia meraih populariti dalam siri televisyen terutama melakonkan watak periang dan bergaya Napoleon Solo - versi James Bond dalam televisyen dalam "The Man from U.N.C.L.E."

Siri televisyen mulai tahun 1964 hingga 1968 itu adalah salah satu siri paling popular pada era 1960-an sehingga mengangkat Vaughn sebagai bintang antarabangsa.

Selepas siri televisyen itu tamat, dia kembali semula ke layar perak dalam beberapa filem termasuk bersama aktor Steve McQueen dalam "Bullitt," sebelum kembali semula ke rangkaian televisyen.

Beberapa tahun lalu, Vaughn melakonkan watak sebagai lelaki penipu dalam siri televisyen Britain, "Hustle" dan tampil pada tahun 2012 dalam opera British, "Coronation Street.". - AFP

Berita Harian X