Sabtu, 29 Oktober 2016 | 3:43pm

Azlan nafi Konsert High Note 2016 batal

PENYANYI, Azlan and The Typewriter. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Azlan and The Typewriter. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Konsert High Note 2016 yang menampilkan tiga penyanyi mempunyai vokal lantang iaitu Ziana Zain, Azlan & The Typewriter dan Jaclyn Victor akan tetap berlangsung seperti dirancang.

Kenyataan Azlan, 34, itu menafikan dakwaan kononnya konsert terbabit dibatalkan apabila tiada perkembangan terbaharu mengenainya selepas pengumuman penganjurannya pada September lalu.

"Saya akui sebaik saja diumumkan, cerita mengenai konsert ini senyap begitu saja sehingga ramai yang menyangka konsert ini tidak diteruskan.

"Tiada sebarang masalah yang berlaku dan konsert ini akan tetap berlangsung seperti dirancang. Deposit juga sudah dibayar," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai konsep persembahan konsert yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut ini, Azlan berkata ia dirangka sebagai penghargaan kepada bakat Ziana. Justeru, laluan diberikan kepada penyanyi lagu Madah Berhelah itu sebagai bintang utama.

"Fokus konsert ini adalah Ziana, manakala saya dan Jac hanya beraksi sebagai penampilan istimewa. Ziana akan menyanyikan sekitar 10 lagu, manakala saya dan Jac masing-masing mempersembahkan lima lagu termasuk sebuah lagu yang menggandingkan kami bertiga," kata bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain ini.

Mengenai persediaan yang dilakukannya menjelang konsert itu, penyanyi lagu Idola dan Mata Hati ini berkata latihan sedang giat dijalankan dan tumpuan diberikan kepada meningkatkan stamina.

Konsert yang diinspirasikan daripada kolaborasinya dengan Ziana di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu akan diadakan pada 25, 26 dan 27 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Berita Harian X