Jumaat, 14 Oktober 2016 | 4:43pm

Peminat marah Zulin, Ariz tidak kerap berjumpa

Zulin kini berusaha menguruskan badannya dengan mengamalkan pemakanan sihat dan pada masa sama menjalani rutin senaman setiap hari.
Zulin kini berusaha menguruskan badannya dengan mengamalkan pemakanan sihat dan pada masa sama menjalani rutin senaman setiap hari.

KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio, Zulin Aziz, 27, berasa lucu apabila hampir setiap hari pengikut di Instagram mempersoalkan status hubungannya dengan Ariz Forteen apabila mereka seolah-olah tidak lagi berhubung.

Kononnya juga Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz sudah pun mempunyai teman baharu iaitu model dan pelakon, Ahya Rosli, sedangkan lelaki itu ialah jurulatih peribadi beliau sejak sebulan lalu.

"Saya tidak faham dan penat apabila hampir setiap hari peminat mempersoalkan adakah saya tidak lagi berkawan dengan Ariz gara-gara kerap memuat naik gambar bersenam bersama Ahya.

"Diakui, memang saya mengurangkan aktiviti lepak bersama rakan-rakan sejak mula bersenam sebulan lalu kerana risau jika mengambil makanan atau minuman tidak berkhasiat. Rakan-rakan pun faham," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

Sementara itu, kata Zulin, beliau kini berusaha menguruskan badannya dengan mengamalkan pemakanan sihat dan pada masa sama menjalani rutin senaman setiap hari.

Katanya, beliau mula mengambil inisiatif mengamalkan kehidupan sihat selepas pernah terkilan gara-gara sukar menggayakan baju yang disukai atau pakaian yang ditaja.

ZULIN Aziz dan Ahya Rosli.
ZULIN Aziz dan Ahya Rosli.

"Dulu berat saya pernah juga susut sehingga 60 kilogram (kg) kerana mengambil ubat kurus. Tetapi, sedikit demi sedikit berat badan saya semakin naik semula sehingga mencecah 75 kg.

"Lebih mengecewakan, saya sudah rasa seperti tiada baju yang boleh dipakai. Apabila ada pihak yang ingin menaja pakaian, ia tidak muat. Jadi saya perlu mengambil inisiatif sendiri iaitu dengan menguruskan badan.

"Alhamdulillah, saya sudah melihat kesannya apabila tubuh saya semakin ringan. Kalau nak diikutkan, inilah kali pertama saya bersungguh-sungguh mahu bersukan kerana sebelum ini bersenam bukan pun minat saya," ujarnya.

Zulin berkata, beliau juga ingin tampil langsing kerana sering dianggap lebih tua berbanding usianya yang sebenar.

"Bayangkan, orang yang lebih berusia memanggil saya kakak. Itu maksudnya saya tampak lebih matang daripada usia sebenar. Saya tidak salahkan mereka. Jadi, jalan yang terbaik adalah dengan bersenam dan menjaga pemakanan dengan baik," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Zulin bakal mempromosikan filem sulung lakonannya berjudul Bopeng. Selain itu, beliau turut sibuk dengan penggambaran telefilem.

Berita Harian X