Isnin, 10 Oktober 2016 | 7:48pm

Nazrey rindu nak buat persembahan dengan Raihan

DARI Kiri, Nazrey Johani dan Zulfazli Rabbani pada Preview Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya jalan Tun Razak. - Foto Shiraz Ali
DARI Kiri, Nazrey Johani dan Zulfazli Rabbani pada Preview Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya jalan Tun Razak. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Sedekad meninggalkan Raihan kerana ingin menumpukan perhatian terhadap kerja dakwah, Nazrey Johani mengaku dirinya rindu untuk mengadakan persembahan bersama kumpulan nasyid yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dulu itu.

Hasrat itu lahir selepas bekas penyanyi utama kumpulan nasyid terbabit diundang menjayakan konsert 3 Kejora Bersatu bersama-sama Rabbani, Hijjaz dan Brothers di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert berkenaan berlangsung selama selama dua malam, iaitu pada 7 dan 8 Oktober lalu.

"Apabila saya melihat konsert yang menggabungkan tiga kumpulan nasyid itu, saya terus terbayangkan Raihan yang sepatutnya berada di pentas berkenaan, apatah lagi status mereka sebagai kumpulan perintis kepada irama nasyid. Mereka juga mencatat rekod penjualan melebihi 600 ribu unit menerusi album Puji-Pujian.

"Sejujurnya jika ditanya, memang saya teringin untuk mengadakan persembahan bersama mereka. Cuma, masa saja tidak mengizinkan memandangkan masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri.

"Raihan terikat dengan undangan persembahan manakala saya pula mempunyai urusan lain, termasuk menguruskan rumah tahfiz," katanya ketika ditemui selepas konsert itu berakhir, Sabtu lalu.

Pada konsert berkenaan, Nazrey muncul menjayakan persembahan bersama Zulfadli Mustafa, seorang lagi bekas anggota kumpulan nasyid popular terbabit. Mereka berdua menyampaikan lagu popular Raihan secara 'mash-up'.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu dirinya, Nazrey berkata, selain menguruskan pusat tahfiz di Ranau, Sabah, kerjaya nyanyian masih diteruskan.

"Pusat tahfiz saya sudah pun beroperasi sejak Januari lalu dan ketika ini ia mempunyai 15 pelajar. Walaupun dalam serba kekurangan, saya akan tetap berusaha mencari dana bagi memastikan ia terus beroperasi.

"Saya mengusahakan pusat berkenaan pun bukanlah untuk diri sendiri saja, sebaliknya demi agama secara keseluruhannya. Disebabkan itu, saya masih lagi memenuhi undangan menyanyi walaupun terpaksa berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur.

"Ada juga hasrat untuk membuat album, tetapi ia sekadar perancangan. Dalam keadaan sekarang, menghasilkan album bukanlah fokus utama. Tidak perlu terkejar-kejar pun ke arah itu dan jika ada rezeki, kita akan hasilkan," katanya.

Berita Harian X