Ahad, 2 Oktober 2016 | 3:23pm

Amy Juliet rasa kerdil hidupkan watak Ella

BAKAT baharu, Amy Juliet. - Foto Zunnur Al Shafiq
BAKAT baharu, Amy Juliet. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Amy Juliet, 28, menganggap tawaran melakonkan watak utama dalam filem Rock Bro ibarat 'bulan jatuh ke riba'.

Amy atau nama sebenarnya, Roziana merasa dirinya kerdil apabila dipilih menghidupkan watak ratu rock Ella dalam filem garapan Mamat Khalid itu.

"Sebelum ini, saya hanya melakonkan watak pembantu. Secara tidak sengaja, saya menjalani sesi uji bakat filem Rock Bro dan diterima membawa watak Ella.

"Saya mengkaji sikap dan cara percakapan Ella bagi memastikan karakternya meresap dalam jiwa. Status Ella sebagai ratu rock menjadikan dia sebagai idola saya," katanya kepada BH Online.

Amy juga bersyukur pelakon lain banyak membantunya sepanjang penggambaran.

"Abang Khir Rahman banyak memberi tunjuk ajar supaya kami tidak kekok menjayakan babak bercinta," katanya.

Pelakon berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki kerana masih 'hijau' dalam bidang lakonan.

Selain itu, Amy turut menyumbangkan suara untuk beberapa lagu dalam filem Rock Bro.

Selain Amy, filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd yang bakal ditayangkan mulai 27 Oktober ini turut menampilkan Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Datuk Hattan, Khir Rahman dan ramai lagi.

Berita Harian X