Rabu, 21 September 2016 | 6:13pm

Konsert High Note cetusan inspirasi persembahan ABPBH 2011

(DARI kiri) Azlan Typewriter, Jaclyn Victor dan Ziana Zain.
(DARI kiri) Azlan Typewriter, Jaclyn Victor dan Ziana Zain.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azlan Typewriter, mengakui gandingannya bersama Ziana Zain pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2011 (ABPBH 2011) mencetuskan inspirasi penganjuran Konsert High Note 2016 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 November depan.

Konsert yang menampilkan tiga penyanyi dengan nada suara tinggi, Ziana, Jaclyn Victor dan dirinya sendiri di Istana Budaya itu dianggap cukup bermakna sebelum pentas bertaraf antarabangsa itu ditutup tahun depan bagi kerja menaikkan taraf.

Azlan, 34, berkata beliau mengambil masa agak lama sebelum memutuskan penganjuran konsert terbabit bagi mencetuskan kerinduan peminat terhadap persembahan mereka di pentas ABPBH 2011.

"Ya, memang konsert ini tercetus daripada persembahan kami pada ABPBH 2011. Selepas gandingan berkenaan, saya mendapat banyak permintaan daripada peminat yang ingin menyaksikan persembahan kami berdua.

"Kami sendiri sebenarnya belum puas dengan persembahan terbabit dan berasakan masih banyak lagi yang boleh diberikan kepada peminat.

"Apabila menonton semula persembahan kami di YouTube, saya lihat peminat akan ulang tonton bahagian 'high pitch'. Jadi, selepas perbincangan, kami berhasrat menganjurkan konsert yang asalnya bertajuk Jerit atau High Pitch," katanya.

Kata Azlan lagi, pada konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam itu, mereka akan mempersembahkan kira-kira 20 lagu.

Mengharapkan ia mendapat sambutan ramai, Azlan yang ditemui pada majlis sidang media konsert terbabit dan pelancaran singlenya berjudul Lambat Tinggal, di sini hari ini berkata, mereka bertiga akan berpadu suara menerusi lagu Anggapanmu.

"Saya meletakkan Ziana sebagai fokus dan penyanyi utama pada konsert ini. Sudah pasti beliau akan membuat lebih persembahan berbanding saya dan Jac kerana saya anggap beliau sebagai pencetus evolusi penyanyi bernada tinggi," katanya.

Mengenai pemilihan Jac, Azlan berkata, penyanyi Gemilang itu antara penyanyi yang turut dikaitkan dengan julat suara tinggi dan pilihan tepat untuk konsert berkenaan.

Berita Harian X