Isnin, 5 September 2016 | 1:03am

Anas Farhan juarai Bintang Klasik Kaseh 2016

ANAS Farhan Sharuddin menjuarai pertandingan Bintang Klasik Kaseh 2016 anjuran Radio Klasik di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto BERNAMA
ANAS Farhan Sharuddin menjuarai pertandingan Bintang Klasik Kaseh 2016 anjuran Radio Klasik di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anas Farhan Sharuddin malam ini menjuarai pertandingan Bintang Klasik Kaseh 2016 anjuran Radio Klasik di sini.

Kemenangan itu membolehkan Anas Farhan, 27, dari Selangor, yang mengalunkan lagu popular Datuk Jamal Abdillah 'Keluhan Perantau', membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil.

Beliau juga dinobatkan sebagai pemenang persembahan terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM7,000.

Dengan kemenangan itu, beliau akan mewakili negara dalam pertandingan Bintang Radio ASEAN 2016 anjuran Radio Republik Indonesia pada pertengahan November ini.

Naib juara pula disandang Noor Amierazatyka Ayob, 21, dari Johor yang mendendangkan lagu 'Wajah Siapa Di Hatimu' yang dipopularkan Azlina Aziz. Beliau menerima hadiah wang tunai RM25,000, trofi serta sijil.

Tempat ketiga dimenangi Faizal Mohd Hassan dari Pulau Pinang, yang mengalunkan lagu 'Bunga Pujaan' nyanyian Jamal, dan membawa pulang wang tunai RM20,000 trofi serta sijil.

Mereka antara enam peserta akhir terdiri daripada tiga wanita dan tiga lelaki berusia di antara 20 hingga 30 tahun pada pertandingan itu yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini.

Tiga peserta lain iaitu Siti Nur Shazreen Shaharum, Firdaos Azzahan dan Eda Fazilah Ismail menerima hadiah saguhati.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Rahim menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Acara itu disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan Radio Klasik.

- BERNAMA

Berita Harian X