Sabtu, 20 Ogos 2016 | 6:51pm
WANI Kayrie bakal menghasilkan single ketiga berjudul Kumbang dan Bunga. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
WANI Kayrie bakal menghasilkan single ketiga berjudul Kumbang dan Bunga. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wani Kayrie rakam single baharu minggu depan

KUALA LUMPUR: Selepas single Jangan Jangan dan Berteman Saja mengumpan peminat, Wani Kayrie atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 16, bakal menghasilkan single ketiga berjudul Kumbang dan Bunga.

Lagu ciptaan DJ Fuzz itu akan dirakam, minggu hadapan. Apa yang menarik, Wani akan tampil bersama kumpulan Viral sebagai teman duet.

Menjelaskan projek terbaharunya itu, Wani memberitahu BH Online, dia sudah lama merancang menghasilkan single duet.

"Anggota kumpulan Viral semua berusia dalam lingkungan usia 20-an dan kami selesa bersama. Sebenarnya, kami pernah merakamkan lagu ini bersama, tapi saya memilih memasarkan lagu Berteman Saja terlebih dulu.

"Untuk projek terbaharu ini, kami akan sekali lagi merakamkan lagu Kumbang dan Bunga dalam versi lebih segar. Single itu akan dipasarkan tidak lama lagi sebelum saya mula sibuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun depan," katanya.

Melalui single baharu itu, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman ini mengharapkan peminat memberi sokongan seperti single pertamanya.

Mengulas single kedua, Berteman Saja yang kurang mendapat sambutan, Wani memberitahu, ia mungkin disebabkan peralihan genre daripada pop kepada balada.

"Sebenarnya, penghasilan single Berteman Saja adalah strategi saya dan syarikat rakaman, Suria Records. Saya mahu keluar dari zon selesa. Saya tidak fikir strategi itu silap.

"Tak mengapa, untuk single ketiga, kami merancang untuk kembali kepada genre pop. Saya mahu dikenali dengan lagu pop terlebih dulu kerana ia sesuai dengan usia saya," katanya.

Berita Harian X