X
Sabtu, 2 Julai 2016 | 1:03pm

Remy Ishak cat rumah bangkitkan suasana raya

Pelakon, Remy Ishak pada sidang media dan pra tonton Filem Tercipta Untukku. - Foto Adibah Ahmad Izam
Pelakon, Remy Ishak pada sidang media dan pra tonton Filem Tercipta Untukku. - Foto Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak sempat bercuti lama kerana terikat dengan penggambaran filem terbaharu, Remy Ishak tetap berusaha menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu.

Untuk memenuhi keinginannya itu, Remy merancang mahu mengecat rumah keluarganya di Masjid Tanah, Melaka.

Remy atau nama sebenarnya Zalimie Ishak, 34, berkata, aktiviti itu akan turut disertai adik-beradiknya bagi memeriahkan lagi suasana Aidilfitri ini.

"Jika diikutkan, cuti raya kali ini saya merancang untuk ke luar negara. Tetapi, sudah menjadi kewajipan untuk saya terlebih dulu pulang ke kampung meraikan Aidilfitri. Bimbang juga keluarga tidak mahu menyambut raya jika saya tiada.

"Jadi untuk memeriahkan raya kami, saya dan keluarga akan mengecat rumah. Sengaja kami tukar untuk membangkitkan suasana baharu pada pagi Syawal nanti," katanya kepada BH Online.

Tambah Remy, beliau juga akan menjalani aktiviti wajib iaitu membakar lemang. Bagaimanapun Remy tidak dapat bercuti panjang kerana perlu menjalani beberapa projek penggambaran selepas sambutan 1 Syawal.

"Saya akan menjalani penggambaran filem arahan Khabir Bhatia selepas pulang beraya nanti. Jadi, saya terpaksa berkorban dengan memendekkan cuti. Selain itu, saya akan sibuk dengan beberapa urusan perniagaan.

"Kesempatan untuk cuti beberapa hari ini, saya manfaatkan dengan meluangkan masa bersama keluarga," katanya.

Berita Harian X