Rabu, 1 Jun 2016 | 6:58pm

Filem baharu Upin & Ipin gabung animasi, watak hidup

DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studio, Ahmad Izham Omar, Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman dan Pengarah MDEC, Hasnul Hadi Samsudin pada sidang media sempena pelancaran filem animasi Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng. - Foto Rohanis Abdul Shukri
DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studio, Ahmad Izham Omar, Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman dan Pengarah MDEC, Hasnul Hadi Samsudin pada sidang media sempena pelancaran filem animasi Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng. - Foto Rohanis Abdul Shukri

KUALA LUMPUR: Filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! (UIJJJ) muncul cereka animasi pertama yang menggabungkan teknik animasi tiga dimensi bersama watak manusia sebenar atau lakonan hidup di negara ini.

Projek menelan belanja RM4 juta itu diterbitkan secara usaha sama antara Les' Copaque dan KRU Studios serta dijadualkan menemui penonton pada November tahun ini.

Anak syarikat Primeworks Studios Sdn Bhd, Primeworks Distribution pula dilantik sebagai pengedar filem terbabit.

Penerbit Bersama, Burhanuddin Md Radzi, berkata filem yang menerima Dana Kesan Khas (CGI) sebanyak RM1.4 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu turut mendapat permintaan untuk ditayangkan serentak di Indonesia.

"Kami mendapat permintaan yang tinggi untuk filem ini ditayangkan di Indonesia. Buat masa ini, perbincangan bersama beberapa pempamer di sana sudah selesai. Ketika ini, kami hanya menunggu keputusan daripada sebuah saja lagi pawagam yang menuntut beberapa perkara untuk menjalinkan kerjasama lebih jauh.

"Mungkin kami akan memohon rundingan secara 'government to government' (G-to-G) bagi menjalinkan kerjasama dengan kementerian pendidikan dan kementerian kebudayaan Indonesia sebagai strategi pasaran filem ini di sana," katanya pada majlis pelancarannya di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman; Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim; Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar; dan Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin.

Filem arahan Erma Fatima dan Ainon Ariff itu menampilkan Asyiela Putri (suara asal Upin & Ipin) bersama Pelakon Wanita Terbaik Asia, Puteri Balqis. Turut membintangi naskhah berkenaan ialah Awie (Wings), Sara Ali, Gambit dan Remy Ishak.

UIJJJ yang memulakan penggambaran pada Disember tahun lalu kini dalam proses akhir memasukkan kesan khas imej janaan komputer (CGI), yang dijangka siap dalam masa terdekat.

Menurut Norman pula, pihaknya terbabit secara langsung dalam mengawal selia proses penggambaran termasuk komposisi teknikal lain.

"Kerja animasi dilakukan 100 peratus oleh Les' Copaque manakala KRU hanya ditugaskan bagi menjayakan proses penggambaran, kesan khas, komposisi kesan bunyi dan muzik saja," katanya.

Sementara itu, sedutan awal filem itu yang dimuat naik ke laman YouTube Les' Copaque Productions empat bulan lalu sudah ditonton lebih 2.4 juta kali selain mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

Berita Harian X