Ahad, 8 Mei 2016 | 4:00pm

Fareez puasa 4 jam sebelum persembahan

FAREEZ (kiri) akan bergandingan dengan Shiha menerusi lagu Generasiku. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
FAREEZ (kiri) akan bergandingan dengan Shiha menerusi lagu Generasiku. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PUTRAJAYA: Juara Mentor Milenia, Fareez Hazwan, mengelak mengambil makanan berat empat jam sebelum persembahannya pada Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) yang bakal berlangsung malam ini.

Bagi Fareez, 18, dengan cara itu dia dapat menyanyi dengan lebih baik bersama penyanyi gandingannya, Shiha menerusi lagu Generasiku.

"Malam ini saya akan pastikan untuk tidak makan apa-apa yang berat agar persembahan nanti lebih bertenaga.

"Risau juga, kalau perut penuh, sukar untuk saya menyanyi dengan baik," katanya kepada BH Online.

Anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu berkata, dia juga agak risau sekiranya gagal memberikan yang terbaik pada persembahannya nanti.

"Ia persembahan pertama saya pada acara anugerah yang besar. Risau juga jika tidak menyanyi dengan baik.

"Apapun saya akan melakukan yang terbaik. Apatah lagi saya berduet dengan Shiha, seorang penyanyi yang sangat hebat dan berpengalaman luas," ujarnya.

Berita Harian X