Ahad, 28 Februari 2016 | 10:30pm

Fifty Shades of Grey, Fantastic Four kongsi gelaran filem paling teruk

LOS ANGELES: Filem Fifty Shades of Grey, muncul pemenang utama pada Anugerah Razzies tahun ini, termasuk berkongsi gelaran Filem Paling Teruk dengan Fantastic Four.

Dalam majlis yang berlangsung, di sini, hari ini, Anugerah Golden Raspberry itu menyaksikan filem erotik yang diangkat daripada novel tulisan E L James berkenaan 'dimalukan' dengan lima trofi.

Selain Filem Paling Teruk, karya arahan Sam Taylor-Johnson itu juga 'memenangi' kategori lakon layar, aktor (untuk Jamie Dornan) dan aktres paling teruk (Dakota Johnson). Kedua-dua pelakon itu juga memenangi kategori pasangan di layar paling teruk.

Selain dipilih sebagai filem terburuk tahun ini, Fantastic Four turut diumumkan sebagai karya bikinan semula atau susulan paling teruk, manakala anugerah pengarah paling teruk pula menjadi milik sutradaranya, Josh Trank.

Penghinaan lain, termasuk untuk Kaley Cuoco sebagai pelakon pembantu wanita paling teruk menerusi persembahannya dalam Alvin & The Chipmunks: Road Chip, manakala Eddie Redmayne (Jupiter Ascending) menang dalam kategori lelaki. Redmayne ialah pemenang trofi Aktor Terbaik pada Oscar tahun lalu, menerusi lakonannya sebagai Stephen Hawking dalam The Theory of Everything.

Sylvester Stallone, yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik pada Oscar, yang akan berlangsung esok menerusi filem Creed, diberikan anugerah penebusan Razzies. Ia diberikan kepada pemenang Razzies terdahulu bagi hasil kerja yang menyerlahkan kembali kerjaya mereka.

Pemenang anugerah kali ke-36 itu diumumkan hari ini di Palace Theatre di Los Angeles, beberapa jam sebelum Anugerah Academy kali ke-88 diadakan di Dolby Theater.

Razzies yang diperkenalkan pada 1980 sebagai sebuah acara lawak kepada musim anugerah di Hollywood, menyaksikan pemilihan tahun ini dilakukan oleh 943 ahli yang layak mengundi dari 48 negeri di Amerika Syarikat dan 20 negara luar.

Berita Harian X