Rabu, 24 Februari 2016 | 1:03pm

Single baharu bukti Forteen utuh bersama

 SINGLE terbaharu Forteen, Dekat Tapi Jauh.
SINGLE terbaharu Forteen, Dekat Tapi Jauh.

KUALA LUMPUR: Kemunculan single terbaharu Forteen, Dekat Tapi Jauh, membuktikan anggotanya masih aktif memperjuangkan muzik secara berkumpulan, sekali gus membidas dakwaan kononnya masing-masing sibuk merencana kerjaya seni solo.

Anggota kumpulan itu, Izzue Islam, berkata lagu terbabit ialah buah tangan terbaharu mereka, khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seni Forteen sejak dulu.

"Forteen masih aktif dan kekal sebagai sebuah kumpulan, namun kami lebih banyak menjayakan majlis dan acara tertutup. Oleh itu, timbul cerita mengatakan kami berpecah.

"Single baharu ini berjaya membuktikan Forteen masih kukuh sebagai kumpulan dan menepis cerita kurang enak mengenai kami," katanya kepada BH Online.

Dekat Tapi Jauh mengisahkan perasaan cinta yang tidak diluahkan dan hanya memandang individu yang dicintai dari jauh. Lagu berentak rancak itu meleraikan cinta yang terbuku di sudut hati, namun tidak dapat diungkapkan.

"Lagu ini baharu saja dilancarkan pada Isnin lalu di laman sosial YouTube dan sudah mencapai tontonan sebanyak 5,000. Kami masih lagi giat mempromosikan single terbaharu menerusi medium media sosial.

"Single ketujuh kami ini adalah ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim dan masih mengekalkan identiti Forteen yang memperjuangkan muzik pop. Setiap anggota diberikan peranan sama rata dan menyanyikan bahagian masing-masing sama seperti sebelum ini," kata Izzue.

Selain Izzue, kumpulan yang berada di bawah KRU Records itu turut dianggotai oleh Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameer) dan Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz Lufias).

Berita Harian X