Ahad, 14 Februari 2016 | 12:35pm

Forteen tetap bersama, bakal muncul single terbaharu

KUMPULAN Forteen membuat persembahan pada pusingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Ghazali Kori
KUMPULAN Forteen membuat persembahan pada pusingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Ghazali Kori

SHAH ALAM: Meskipun agak menyepi kebelakangan ini, bukan bermakna kumpulan Forteen tidak aktif dalam merencana kerjaya nyanyian, malah jauh sekali seperti kononnya mereka akan membawa haluan masing-masing.

Kumpulan yang sudah lima tahun bertahan dalam industri muzik tanah air ini juga sebenarnya rancak membuat persiapan untuk muncul dengan single terbaharu berjudul Dekat Tapi Jauh.

Anggota kumpulan itu, Izzue Islam, berkata single terbaharu ciptaan sepenuhnya Edry KRU itu bakal menemui peminat pada 22 Februari ini.

"Kami masih tetap bersama dan menerima undangan persembahan seperti biasa. Malah, kami juga sering berjumpa untuk berbincang mengenai Forteen termasuk mengumpul material seperti lagu baharu.

"Tidak timbul soal menyepi atau kami semakin renggang. Saya faham, apabila jarang muncul di media, ada yang membuat pelbagai andaian. Yang pasti kami tetap bersatu," katanya kepada BH Online.

Izzue yang juga seorang pelakon berkata, selain bersama Forteen, semua anggota kumpulan iaitu Ariz, Ameer dan One turut mempunyai komitmen masing-masing.

Beliau turut berharap dengan kemunculan single terbaharu itu, ia akan menutup andaian yang sering kali mengaitkan kumpulan itu bakal berpecah.

"Tidak seronok apabila dikaitkan dengan perkara seperti itu (tidak sehaluan dan akan berpecah). Sedangkan, kami tiada sebarang masalah. Sudah lima tahun kami bersama dan saya juga percaya Forteen ada pengikut tersendiri," katanya.

Berkongsi mengenai lagu terbaharu mereka, Izzue memberitahu, Forteen bakal tampil dengan muzik agak berbeza, selari dengan kematangan kumpulan terbabit.

Beliau menambah, semua ahli menyumbangkan vokal dalam lagu berkenaan dan ia akan menampilkan sisi lain kumpulan Forteen.

"Saya memang teruja dengan single kali ini dan sama-sama nantikan keistimewaan Dekat Tapi Jauh," katanya.

Forteen sebelum ini popular dengan lagu seperti Berdua Bersatu, Seperti Dulu, Kita dan Linangan Terakhir.

Berita Harian X