KUALA LUMPUR: Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) terkilan dengan sikap sesetengah penyanyi popular yang sukar memberi kerjasama dalam aktiviti kebajikan hanya disebabkan isu bayaran.
Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, bukanlah perkara asing apabila segelintir penyanyi dikenali, menolak jika diberitahu majlis yang mahu dikendalikan yayasan sekadar menyediakan bayaran sagu hati.
DJ Dave meluahkan masih ramai artis seolah-olah sengaja tidak memahami konsep kerja amal.
Sebaliknya, penyanyi veteran itu berkata, artis lebih berpaksikan soal bayaran yang kadang-kala di luar kemampuan penganjur.
"Seperti YA1M, organisasi ini ditubuhkan untuk membantu semua anak seni, tidak kira tua atau muda untuk menjaga kebajikan mereka. Namun, masih ada yang tersalah anggap YA1M cuma menolong artis veteran.
"Apabila kita menganjurkan aktiviti seperti makan malam dan persembahan, ia sebenarnya untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada penerima yang difikirkan layak.
"Apa yang pelik, ada artis mahu diberi bayaran yang biasa diterima untuk persembahan korporat sedangkan mereka tahu, hasil penjualan meja atau tiket disalurkan ke dana khas," katanya selepas menyerahkan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 20 artis termasuk Vellu Chelliah, Suzy Wong dan Maimunah Ahmad atau Mak Jah di sini, baru-baru ini.
Setiap artis menerima sumbangan wang tunai RM2,000 dari YA1M.
DJ Dave berkata, sekalipun perlu menampung pelbagai kos lain seperti sewa lokasi, peralatan teknikal dan pemuzik, penganjur masih memberi sagu hati kepada penyanyi, bukannya meminta sumbangan percuma daripada mereka.
Mengenai pengagihan sumbangan kepada anak seni, DJ Dave berkata, bantuan diberi setiap kali menyambut perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
"Pemilihan penerima adalah bersandarkan keperluan terutama yang uzur dan sakit. Tetapi bukanlah penerima yang sama berulang kali. Sekurang-kurangnya mereka yang layak menerima sumbangan sekali seumur hidup.
"Selain musim perayaan, kita juga membuat lawatan ke rumah. Ada antara sumbangan diagihkan tidak dihebahkan dalam media demi memenuhi permintaan keluarga penerima," katanya.