Sabtu, 6 Februari 2016 | 5:00pm

Konsert penghargaan untuk Tan Sri SM Salim

PENGERUSI YA1M, Datuk DJ Dave. - Foto Khairul Helmy Mohd Din
PENGERUSI YA1M, Datuk DJ Dave. - Foto Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Selepas tiga kali ditangguhkan, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) memilih 12 Mac ini sebagai tarikh konsert penghargaan buat Tan Sri SM Salim, yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi YA1M, Datuk DJ Dave, berkata pihaknya berjaya mengumpul 15 penyanyi lama dan baharu yang pernah berpadu suara dengan tokoh seni itu untuk merealisasikan Konsert Penghargaan Legenda Hidup - Tan Sri SM Salim.

Katanya, keterujaan SM Salim menanti persembahan mega yang dirancang sejak tahun lalu itu turut merangsang semangat YA1M untuk tidak melengahkan lagi misi berkenaan.

"Sejak siri pertemuan dengan Tan Sri (SM Salim) awal tahun lalu, kita sudah merangka perjalanan konsert yang diadakan khusus sebagai menghargai sumbangannya pada industri selama enam dekad.

"Biarpun ada penyanyi yang pernah berduet dengannya tidak dapat memberikan komitmen, kami tetap merealisasikan konsert ini sebagai tanda penghormatan daripada YA1M.

"Mungkin di sebalik kesulitan ada hikmah yang tersembunyi, sekali gus menyuntik semangat seluruh pasukan untuk menjadikannya sebagai realiti," katanya ketika penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina kepada 20 artis veteran.

Kata DJ Dave, antara penyanyi yang bakal beraksi pada malam itu ialah Datuk M Nasir ,yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, selain Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Noraniza Idris, Syafinaz dan Haziq.

Setiap penyanyi akan mengalunkan lagu yang pernah disampaikan bersama SM Salim dengan diiringi Orkestra DBKL pada konsert kira-kira dua jam itu.

Individu atau syarikat dan badan korporat yang ingin mendapatkan tempat duduk di dalam dewan berkapasiti 800 penonton juga boleh beramal menerusi sumbangan ke dana YA1M.

Dua tahun lalu, YA1M menganjurkan Konsert Satu Suara Satu Matlamat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang bermatlamat membantu anak seni veteran, uzur dan sakit.

Berita Harian X