Isnin, 18 Januari 2016 | 11:49am
APLIKASI aiskrim Sam menerusi Google Play.
APLIKASI aiskrim Sam menerusi Google Play.

Shaheizy Sam jual 'ais krim'

PELAKON, Shaheizy Sam menunjukkan permainan video Sam's Ice Cream di Sunway Putra Hotel. - Foto Nurul Rose Razman
PELAKON, Shaheizy Sam menunjukkan permainan video Sam's Ice Cream di Sunway Putra Hotel. - Foto Nurul Rose Razman

KUALA LUMPUR: Dalam sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014, Shaheizy Sam khabarnya sempat pula menjual aiskrim.

Namun, kalau ada yang bertanya jenis perisa yang ditawarkan, buah hati Syatilla Melvin ini bukan menjual hidangan pencuci mulut kegemaran ramai itu. Sebaliknya, Sam's Ice Cream adalah aplikasi permainan baharu yang boleh diakses melalui telefon pintar.

Lebih mengujakan, aplikasi permainan ini menyediakan hadiah kepada peminat. Mereka boleh memuat turun aplikasi itu dalam gajet pilihan menerusi Google Play atau Apple Store secara percuma.

Dalam permainan ini, mereka yang mara pada tahap tertentu akan diberi ganjaran istimewa seperti kemeja-T edisi terhad selain berpeluang menikmati makan malam bersama Sam.

Pada sidang media mengumumkan tarikh pernikahannya di Kuala Lumpur, minggu lalu, Sam turut bercerita mengenai projek terbaharu membabitkan aplikasi Sam's Ice Cream ini.

Sam berkata, dia sebenarnya bukanlah gemar menghabiskan masa dengan aplikasi permainan pada telefon bimbit dek kesibukan di lokasi.

Namun, tawaran untuk terbabit dalam projek aplikasi permainan itu didorong minat ibunya, Khaty Fauziah yang sukakan aplikasi seumpama itu dalam telefon bimbitnya.

"Soal aplikasi permainan ini, Mummy lebih handal. Kadang-kadang, saya balik lewat malam dari penggambaranpun, Mummy boleh leka. Dia tak sedar yang anaknya yang seorang ini sudah ada di depan mata," katanya berseloroh.

Peminat terawal berpeluang sertai majlis resepsi istimewa

Menambah tarikan aplikasi permainan Sam's Ice Cream, bintang Polis Evo ini berkata pengguna yang memuat naik aplikasi terbabit berpeluang meraikan majlis resepsi istimewa perkahwinannya bersama peminat pada 20 Februari depan.

"Mungkin 1,000 atau 2,000 orang terawal memuat naik akan dipilih untuk bersama saya dan bakal isteri pada majlis itu nanti. Perkara ini akan saya maklumkan dari semasa ke semasa di laman sosial," katanya.

Sam dan Syatilla akan dinikahkan di rumah keluarga Syatilla di Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada 8 Februari depan. Ini diikuti majlis resepsi di Bukit Jawi Golf Club, keesokannya.

Majlis menyambut menantu di pihak lelaki pula akan diadakan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada pada 14 Februari depan.

Berita Harian X